Sabtu, 6 Julai 2019 | 10:49am
BATTERSEA Power Station di London.

Battersea Power Station pelaburan tepat konglomerat Malaysia

KUALA LUMPUR: Projek Battersea Power Station di London adalah satu keputusan pelaburan tepat dibuat oleh konglomerat Malaysia berikutan sambutan hebat diterima daripada pembeli antarabangsa dan penerimaan baik oleh penduduk tempatan.

Ia turut dibuktikan menerusi kemajuan yang ditunjukkan oleh projek pembangunan dan baik pulih lokasi ikonik kota London itu setakat ini, yang menyaksikan Fasa 1 mula menempatkan residen dan ruang runcit, manakala dua lagi fasa penting iaitu Fasa 2 dan Fasa 3A sedang rancak berjalan.

Ketua Pegawai Eksekutif Battersea Project Holding Co Ltd, Simon Murphy, berkata momentum yang diterima oleh projek ikonik London itu semakin memuncak ketika ini dengan ketibaan puluhan ribu pengunjung setiap minggu.

Katanya, projek Battersea Power Station benar-benar sudah berada di peta destinasi global dengan pengunjung yang datang ke situ memperakuinya sebagai sebuah destinasi yang terkemuka.

“Kami kini bersedia untuk menjadi perbandaran baharu di tengah London dengan ruang komersial yang akan datang.

“Anda berada di sini apabila momentumnya telah ada dan apabila kembali ke Malaysia, boleh menceritakan mengenai (perkembangan) tempat ini,” katanya kepada media dari Malaysia yang dibawa meninjau perkembangan terkini projek Battersea Power Station di London, baru-baru ini.

Battersea Project Holding Co Ltd membangunkan projek itu bagi pihak dua syarikat hartanah tempatan iaitu Sime Darby Property dan S P Setia, yang masing-masing memegang 40 peratus saham, manakala Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memegang baki 20 peratus kepentingan.

Awal tahun ini, KWSP dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) memeterai perjanjian jual beli untuk membeli hartanah komersial di Fasa 2 projek Battersea Power Station di London pada pertimbangan asas RM8.351 bilion (£1.583 bilion).

Ruang komersial yang ditawarkan bagi stesen tenaga itu kini sudah melepasi 65 peratus dengan Apple Inc muncul antara firma terkemuka yang akan beroperasi di situ apabila dibuka pada 2021.

Terkini, ia turut menerima syarikat ruang kerja bersama, No18, yang akan mengambil ruang seluas 40,000 kaki persegi.

Bagi unit kediaman, 99 peratus yang ditawarkan untuk Fasa 1 dipanggil Circus West Village yang dilancarkan pada 2013 berjaya dijual dan sudah mula didiami sejak 2017.

Manakala, Fasa 2 yang dinamakan The Power Station terletak di dalam stesen jana kuasa ikonik menyaksikan 90 peratus daripada 253 unit ditawarkan habis dijual.

Sementara itu, 70 peratus unit kediaman dalam fasa 3A dipanggil Electric Boulevard telah menemui pembelinya.

Fasa 3A yang terdiri daripada pembangunan bercampur bersambung dengan aliran ‘tube’ akan menempatkan taman bumbung terbesar di London direka bentuk oleh James Corner, iaitu pereka bentuk bagi laluan bertaman terkenal di New York, The Highline.

Konglomerat Malaysia menjadi pembida pilihan bagi mengambil alih kawasan Battersea Power Station, iaitu satu daripada mercu tanda kebanggaan penduduk ibu kota Britain itu pada 2012.

Ia mengenepikan dua lagi pembida ternama antarabangsa, iaitu konsortium yang diterajui pelabur hartanah veteran British, Godfrey Bradman dan jutawan hartanah Brothers Ruben; serta pemilik kelab bola sepak Inggeris, Chelsea FC yang juga jutawan Russia, Roman Abramovich.

Stesen kuasa itu dibina pada 1929 sebelum operasinya dihentikan sepenuhnya pada 1983, menjadi salah satu ikon budaya pop di United Kingdom (UK), termasuk menghiasi kulit album kugiran terkenal negara itu seperti The Beatles dan Pink Floyd.

Berita Harian X