Jumaat, 9 Ogos 2019 | 4:55pm
Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Komersial Kumpulan CIMB Group, Victor Lee Meng Teck (empat dari kanan) dan Ketua Pegawai Kewangan Axiata Digital merangkap Pengarah Axiata Digital Capital, Sheyantha Abeykoon (empat dari kiri) pada majlis memeterai kerjasama CIMB Group dan Axiata Digital.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Komersial Kumpulan CIMB Group, Victor Lee Meng Teck (empat dari kanan) dan Ketua Pegawai Kewangan Axiata Digital merangkap Pengarah Axiata Digital Capital, Sheyantha Abeykoon (empat dari kiri) pada majlis memeterai kerjasama CIMB Group dan Axiata Digital.

Penyelesaian kewangan CIMB, Axiata Digital manfaat 700,000 PKS

KUALA LUMPUR: CIMB Group bekerjasama dengan Axiata Digital Capital (ADC), penyedia perkhidmatan teknologi kewangan (fintech) di bawah Axiata Digital menawarkan penyelesaian kewangan kepada 700,000 pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berpotensi di Malaysia dan Indonesia.

Penyelesaian kewangan itu akan ditawarkan menerusi platform pemberian pinjaman mikro ADC, Aspirasi.

Usaha sama itu dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Komersial Kumpulan CIMB Group, Victor Lee Meng Teck dan Ketua Pegawai Kewangan Axiata Digital merangkap Pengarah Axiata Digital Capital, Sheyantha Abeykoon.

Ia menjadi kerjasama serantau pertama antara bank dan pembekal perkhidmatan digital yang memberi tumpuan untuk menjana pertumbuhan PKS mikro dan kecil.

Mengulas kerjasama itu, Meng Teck, berkata kedua-dua pihak berhasrat memenuhi keperluan unik PKS berdasarkan tahap persekitaran perniagaan masing-masing.

“CIMB juga akan memberi sokongan kepada PKS untuk mengembangkan perniagaan mereka di pasaran tempatan dan luar negara dengan memanfaatkan jejak dan rangkaian serantau yang kukuh,” katanya.

Sementara itu, Abeykoon berkata platform pembiayaan digital baharunya, Aspirasi menawarkan permohonan pinjaman digital dengan pemprosesan segera dan pembayaran pantas, sekali gus memberi pengalaman baharu kepada pelanggan berbanding produk yang ditawarkan di pasaran pada hari ini.

Sejak 2014, Axiata Digital memberi tumpuan kepada mempercepatkan penggunaan digital dengan menawarkan penyelesaian kewangan inovatif seperti e-dompet, pembiayaan mikro dan pengiriman wang untuk mengurangkan jurang digital kepada lebih 300 juta pelanggan Axiata Group Bhd di Asia Selatan dan Tenggara.

Di samping itu, dengan memanfaatkan kepakarannya dalam teknologi digital, Axiata Digital menyasarkan untuk memastikan ekosistem kewangan yang bersedia ke arah masa depan dan masyarakat yang inklusif untuk golongan yang kurang mendapat perhatian, sambil mempamerkan manfaat perniagaan ICT untuk kejayaan dan pertumbuhan mikro dan PKS.

Pada Mac tahun ini, CIMB mengumumkan komitmennya untuk memperuntukkan RM15 bilion kepada 100,000 PKS pada 2019-2020.

Bagi tujuan itu, CIMB baru-baru ini bekerjasama dengan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) untuk menyediakan akses PKS kepada pembiayaan RM2 bilion melalui skim Jaminan Portfolio CGC.

CIMB juga komited untuk melabur dalam teknologi dan data sebanyak RM300 juta bagi perniagaan perbankan komersil dalam tempoh lima tahun akan datang, untuk menyokong pertumbuhan pesat sektor PKS yang mana pada 2018, ia meningkat sebanyak 6.2 peratus di Malaysia dan 10 peratus di Indonesia.

Berita Harian X