Ahad, 11 Ogos 2019 | 5:12pm
POPULAR Mega Bookfair diadakan di Pusat Konvenysen Sunway Pyramid.
POPULAR Mega Bookfair diadakan di Pusat Konvenysen Sunway Pyramid.

POPULAR Mega Bookfair tumpu produk kanak-kanak

PETALING JAYA: Popular Book Co (M) Sdn Bhd menawarkan lebih banyak pilihan produk kanak-kanak di pesta buku POPULAR Mega Bookfair yang memasuki tahun ketiga penganjurannya kali ini.

Pengurus Kanan Projek Khasnya, Helen Goh, berkata keputusan itu dibuat selepas kajian yang dilaksanakan pihaknya mendapati kebanyakan pelanggannya adalah terdiri daripada mereka yang sudah berkeluarga.

Selain itu, katanya ia juga bertujuan untuk memupuk dan menggalakkan budaya membaca di kalangan kanak-kanak sewaktu cuti sekolah ini.

"Tahun ini, kami lebih menekankan kepada produk untuk kanak-kanak termasuk bahan bacaan, komik, buku mewarna, alat tulis, permainan dan sebagainya.

"Ini kerana, kami menyedari sepanjang cuti sekolah, rata-rata pelanggan kami adalah yang sudah berkeluarga dan kerana itu kami mengambil peluang dengan menawarkan lebih banyak produk untuk kanak-kanak," katanya ketika ditemui di sini.

Pesta buku yang diadakan di Pusat Konvenysen Sunway Pyramid bermula dari Jumaat lalu sehingga Ahad depan menyasar menarik kehadiran lebih 100,000 pengunjung.

Ia dibuka bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan menawarkan pelbagai koleksi buku dan bahan bacaan sama ada dalam segmen bahasa Melayu, Inggeris atau Cina.

Terdahulu, Goh menyampaikan sumbangan berupa baucer tunai dan bahan bacaan kepada 40 kanak-kanak anak yatim dari Rumah Victory dan Sweet Care Home sebagai sebahagian tangungjawab sosial korporat syarikat berkenaan.

Goh berkata, pesta buku seterusnya akan diadakan di tiga negeri termasuk di Johor, Melaka dan Pulau Pinang yang akan diadakan pada bulan November dan Disember ini, iaitu sewaktu cuti sekolah.

"[email protected] yang dianjurkan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Jun lalu dengan keluasan ruang sehingga 180,000 kaki persegi adalah pesta buku terbesar kami anjurkan setiap tahun.

"Bagi POPULAR Mega Bookfair ini pula, ia adalah pesta buku kedua terbesar yang kami anjurkan yang biasanya diadakan di ruang seluas 50,000 kaki persegi," katanya.

Berita Harian X