Selasa, 13 Ogos 2019 | 3:26pm
Pengarah Urusan TOMM, Looi Kam Yong. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Labur RM1.47 bilion lombong bauksit di Kota Tinggi

SUBANG JAYA: The One Minerals Mining Sdn Bhd (TOMM) dan firma pelaburan Hong Kong, Via East West Capital (VEWC) melabur AS$350 juta (RM1.47 bilion) untuk melombong 2,833 hektar bauksit di Johor bagi tempoh lima tahun akan datang.

Pengarah Urusan TOMM, Looi Kam Yong, berkata perlombongan mineral di atas tanah milik FELDA di Kota Tinggi yang dijangka bermula dalam tempoh empat hingga enam bulan akan datang itu akan dibahagikan kepada lima bahagian, yang mana bahagian pertama merangkumi pelaburan bernilai AS$50 juta (RM210 juta) membabitkan kawasan keluasan 404.7 hektar.

Katanya, projek yang mendapat kelulusan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) itu bakal mewujudkan 100 hingga 150 pekerjaan baharu bagi setiap 404.7 hektar kepada penduduk setempat.

“Projek ini dijangka menghasilkan sekitar 500,000 tan bauksit sebulan atau enam juta tan setahun untuk pasaran eksport ke China, Vietnam dan Korea Selatan.

“Perlombongan yang akan bermula akhir tahun ini atau awal tahun depan dijangka menjana sekurang-kurang pendapatan cukai RM10 setan kepada kerajaan atau RM60 juta setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis memeterai perjanjian persefahaman (MoU) antara TOMM dan VEWC di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Kewangan VEWC, Oh Shen King dan Naib Presiden Kanan Pembangunan Perniagaan dan Korporat VEWC, Eric Leong Kai Hsien.

Kam Yong berkata, proses perlombongan yang bakal dilaksanakan TOMM adalah secara lebih digital dan mapan bagi mengelakkan isu bauksit yang berlaku di Kuantan, Pahang serta pencemaran di Pasir Gudang, Johor berulang.

Katanya, pihaknya menilai permasalahan yang berlaku di Kuantan sebelum memutuskan untuk meneroka tanah Felda yang tidak lagi ekonomi untuk penanaman sawit, disebabkan wujudnya mineral di kawasan berkenaan.

“Kami akan melabur RM30 juta untuk mewujudkan jeti persendirian di kawasan sungai berhampiran bagi tujuan mengangkut bauksit sebelum di hantar ke kapal untuk dieksport.

“Jeti berkenaan yang turut menempatkan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dijangka siap dalam tempoh empat bulan lagi.

“Dengan adanya jeti ini, kami tidak akan menggunakan jalan darat seperti projek bauksit di Kuantan, sekali gus dapat mengelakkan pencemaran. Malah, kawasan perlombongan juga terletak tujuh kilometer dari kawasan penempatan,” katanya.

Beliau menjelaskan, sistem pengairan yang digunakan juga lebih efektif membabitkan tiga kolam takungan untuk tujuan pembersihan sisa mineral berkenaan yang mana tidak akan memberi kesan kepada sungai berdekatan.

“Kami akan membuat pemantauan rapi setiap proses perlombongan untuk mengelakkan impak kepada alam sekitar dan penduduk setempat. Malah, tapak projek ini juga dikawal secara digital termasuk pemantauan satelit, dron, sistem pengesanan global (GPS), tiga dimensi dan haba untuk memastikan kawasan perlombongan kekal mesra alam dan selamat,” katanya.

Sementara itu, Shen King berkata, VEWC yang menjadi pelabur majoriti dalam projek itu menjangkakan aktiviti perlombongan berkenaan bakal meraih pulangan pelaburan sehingga 60 peratus daripada keseluruhan jumlah pelaburan dalam tempoh dua tahun.

2922 dibaca
Berita Harian X