Selasa, 13 Ogos 2019 | 4:52pm
Timbalan Presiden Kanan NCR Global Services Delivery, Bill Bancroft (kanan) bersama Timbalan Presiden Pembangunan Pelaburan Dan Industri MDEC, Hew Wee Choong menandatangani plat sebagai tanda perasmian bangunan baru NCR di Bangsar South City. NSTP/Nik Hariff Hassan

NCR Corp buka pusat kecemerlangan serantau di KL

KUALA LUMPUR: Peneraju teknologi enterpris, NCR Corporation (NCR Corp) membuka pusat kecemerlangan perkhidmatan serantau yang baharu di Malaysia, disasarkan untuk memberi perkhidmatan kepada industri perbankan, hospitaliti dan runcit di Asia Pasifik.

Terletak di Bangsar South City, pusat perkhidmatan itu akan memberi sokongan kritikal untuk membantu bank, peruncit dan restoran dalam perjalanan transformasi digital masing-masing.

Naib Presiden Kanan Penyampaian Perkhidmatan Global NCR Corp, Bill Bancroft, berkata pusat perkhidmatan itu akan menyediakan sokongan pelanggan selama 24 jam di 12 negara.

“NCR komited untuk mengutamakan pelanggan dan untuk membolehkan mereka berkembang maju ketika mereka memulakan perjalanan transformasi digital masing-masing.

“Pusat ini akan memacu kecemerlangan perkhidmatan dengan teknologi canggih untuk rangkaian transaksi digital kompleks yang disokong infrastruktur boleh dipercayai, kerajaan yang stabil, lokasi strategik dan kumpulan bakat yang fasih dalam pelbagai bahasa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan pusat perkhidmatan itu di sini, hari ini.

Pusat itu dikendalikan 400 profesional terlatih yang mahir dalam pelbagai bahasa, yang akan bekerjasama untuk menggunakan perkhidmatan berkaitan digital dan mendedahkan cara baharu, inovatif untuk mengurus, memantau dan menyelenggara rangkaian urus niaga untuk bank, kedai dan restoran.

Bancroft berkata, perkhidmatan berkaitan digital terdiri daripada tenaga manusia, proses, pengetahuan dan alat memastikan teknologi pelanggan berfungsi dengan lancar.

"Dengan NCR, bank, peruncit dan restoran mendapatkan penyelesaian yang mudah disambungkan untuk membuat teknologi baharu dan warisan bekerja bersama-sama dengan pakar untuk membantu perniagaan berkembang," katanya sambil menambah penyelesaian boleh diselesaikan di seluruh Asia Pasifik secara jarak jauh dari pusat itu.

Berita Harian X