Rabu, 14 Ogos 2019 | 2:07pm

MISC catat keuntungan lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih MISC Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2019 meningkat 24.5 peratus kepada RM399.8 juta daripada RM321.2 juta setahun sebelumnya.

Dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia hari ini, MISC berkata pendapatan pada suku dikaji meningkat kepada RM2.16 bilion berbanding RM2.14 bilion sebelumnya, terutama daripada jumlah kapal beroperasi lebih tinggi.

Perolehan sesaham meningkat kepada sembilan sen daripada 7.2 sen sebelumnya.

MISC mengisytiharkan dividen interim tujuh sen sesaham, yang akan dibayar pada 18 September ini.

Bagi enam bulan berakhir 30 Jun, keuntungan bersih MISC melonjak kepada RM910.3 juta berbanding RM631.8 juta dalam tempoh sama tahun lalu, manakala pendapatan meningkat kepada RM4.44 bilion berbanding RM4.16 bilion setahun lalu.

Mengenai prospek, MISC berkata pada separuh pertama tahun ini, perolehan kapal tangki petroleum adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya, berikutan penyeimbangan semula pasaran, dengan disokong oleh pertumbuhan perdagangan minyak mentah jarak jauh.

Namun, ia berkata pemotongan pengeluaran berterusan yang diterajui oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan serangan kapal tangki di Selat Hormuz baru-baru ini mungkin memberi kesan kepada jumlah penghantaran dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, separuh kedua 2019 dijangka menyaksikan pasaran kapal tangki akan disokong oleh peningkatan eksport minyak Amerika Syarikat (AS) dan kenaikan permintaan tan perbatuan.

“Tinjauan keseluruhan bagi segmen kejuruteraan berat kekal tidak menentu di tengah-tengah ketegangan geopolitik dan perdagangan yang berpanjangan, selain pertumbuhan ekonomi perlahan,” katanya.

MISC berkata, di sebalik ketidaktentuan itu, aktiviti pengeluar minyak dan gas luar pesisir terus meningkat, meskipun secara sederhana.

Berita Harian X