Rabu, 14 Ogos 2019 | 4:36pm
edotco Group Sdn Bhd

edotco, firma AS gabung kepakaran infrastruktur

KUALA LUMPUR: Syarikat perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi bersepadu, edotco Group Sdn Bhd (edotco) menjalin kerjasama dengan syarikat tersenarai di New York, Intelsat SA bagi meningkatkan keupayaan kesalinghubungan di Asia Tenggara dan Asia Selatan menerusi penyelesaian industri berkaitan.

Dalam satu kenyataan, edotco berkata di bawah kerjasama itu, kedua-dua syarikat terbabit merancang untuk menggabungkan teras kepakaran masing-masing dalam aspek hala balik satelit dan terrestrial.

Ia, katanya adalah bagi menawarkan perkhidmatan lebih baik dan menyeluruh yang menjadi kaedah menyalurkan penyelesaian di kawasan pedalaman serta mengembangkan pemantauan dan pengawasan edotco di kawasan terpencil.

“Keperluan untuk mengurangkan lagi jurang kesalinghubungan itu menjadi lebih getir sekarang ketika kita menuju kepada usaha pelaksanaan 5G, internet kebendaan (IoT) dan bandar raya pintar," kata Ketua Pegawai Eksekutif edotco, Suresh Sidhu.

Beliau berkata, usaha menambah baik aspek kesalinghubungan di kawasan pedalaman dan terpencil turut menjadi keutamaan pengendali rangkaian mudah alih (MNO).

“Kerjasama dengan Intelsat ini akan membolehkan kami memasukkan khidmat angkutan hala balik satelit dalam pakej penawaran sedia ada, membantu pengendali memperluaskan perkhidmatan ke kawasan sukar dan memberi satu generasi rangkaian perkhidmatan yang baharu kepada MNO,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Serantau Intelsat bagi Asia Pasifik, Terry Bleakley berkata jalinan kerjasama dengan penyedia menara (telekomunikasi) seperti edotco, akan membolehkan kedua-dua syarikat dapat memanfaatkan kepakaran untuk memperluas infrastruktur kepada lebih banyak pengguna dan selain perkhidmatan.

-BERNAMA

Berita Harian X