Rabu, 14 Ogos 2019 | 4:52pm
Ketua Pegawai Eksekutif PitchIN, Sam Shafie. NSTP/Rosela Ismail

pitchIN sasar jana dana RM16 juta

KUALA LUMPUR: Pitch Platforms Sdn Bhd (pitchIN), peneraju pengendali platform pendanaan ekuiti ramai (ECF) di Malaysia berada dalam landasan kukuh untuk mencapai sasaran menjana dana RM16 juta daripada ECF tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sam Shafie, berkata setakat Julai lalu, pitchIN sudah menjana RM12.9 juta daripada 11 syarikat menerusi platform ECF membabitkan 400 pelabur.

Beliau berkata, 57 peratus daripada pelabur adalah terdiri daripada pelabur runcit, sementara bakinya adalah pelabur budiman dan pelabur kaya.

Katanya, kebanyakan pelabur yang mendaftar di platform pitchIN adalah pelabur yang berumur di bawah 40 tahun.

“Pada Januari lalu, kami menetapkan sasaran untuk menjana RM16 juta. Kami yakin dapat mencapai sasaran yang ditetapkan itu apabila setakat ini sudah menjana kira-kira RM13 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di acara “New Age Investments” yang dianjurkan Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) di sini, hari ini.

Setakat 12 Ogos 2019, pitchIN sudah menjana RM41.9 juta dana daripada ECF untuk 35 syarikat dengan penguasaan pasaran 80.2 peratus.

Pada masa ini, terdapat 10 syarikat yang dibenarkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk menawarkan platform ECF bagi membolehkan usahawan meraih dana dan orang awam untuk melabur.

Sam berkata, SC dijangka akan mengeluarkan rangka kerja pasaran sekunder untuk ECF tahun ini dan pihaknya berminat untuk menjadi pengendali pasaran sekunder itu.

Beliau berkata, dengan adanya pasaran sekunder akan merancakkan penyertaan pelabur dan meningkatkan kecairan dalam pasaran berkenaan.

Sementara itu, pengendali platform pembiayaan rakan setara (P2P), Fundaztic.com menyasarkan untuk menjana dana RM80 juta untuk enterpris mikro, kecil dan sederhana (MSME) tahun ini daripada 1,200 nota pelaburan berbanding RM55.56 juta dan 730 nota ketika ini.

152 dibaca
Berita Harian X