Khamis, 15 Ogos 2019 | 11:43am

MISC dijangka catat prestasi lebih baik

KUALA LUMPUR: MISC Bhd, dijangka mencatatkan prestasi lebih baik pada suku seterusnya, dipacu kadar semasa lebih baik ditambah dengan unjuran lebih baik selepas mencatatkan pendapatan rendah tahun lalu.

Nota penyelidikan daripada pelbagai firma penyelidikan menyatakan syarikat itu kekal dalam saranan "neutral", dengan Kenanga Investment mencadangkan saham MISC akan meneruskan aliran meningkat pada suku itu.

"Pendapatan teras MISC lebih kukuh pada separuh pertama tahun kewangan 2019 (1H FY19), yang meningkat 46 peratus tahun ke tahun (y-o-y) iaitu lebih tinggi daripada jangkaan kami. bagi masa depan, kami percaya kumpulan ini mungkin akan mencatatkan pendapatan lebih baik kerana kami melihat risiko adalah terhad terhadap pembayaran dividen secara konsisten dengan aliran tunai operasi kekal stabil," kata Kenanga.

Sementara itu, MIDF berkata peningkatan jumlah kapal yang beroperasi akan mengekalkan keuntungan gas asli cecair (LNG) syarikat.

"Hasil dan keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi segmen LNG pada 1H FY19 masing-masing meningkat 3.9 peratus dan 14.5 peratus y-o-y. Pertumbuhan dalam hasil dan PBT akan menyumbang kepada peningkatan jumlah kapal yang beroperasi," katanya.

Affin Hwang Capital berkata, pendapatan MISC pada suku kedua FY19 adalah selaras jangkaan, disokong prestasi lebih baik dalam segmen LNG dan juga petroleum.

"Suku ketiga lebih rendah dijangkakan sebelum meningkat semula pada suku keempat susulan segmen petroleum pada suku ketiga dijangka lemah, yang sebahagiannya akan terjejas oleh kos bunker lebih tinggi, yang meningkat dari pertengahan Jun hingga Julai sebelum jatuh dengan ketara, berikutan pembetulan dalam harga minyak global pada Ogos," katanya.

Pada 10.10 pagi ini, penanda aras minyak mentah Brent berada pada AS$58.97 satu tong, manakala harga sahamnya pada RM7.17 dengan 192,000 saham diniagakan. - BERNAMA

Berita Harian X