Khamis, 15 Ogos 2019 | 12:53pm

Maxis, Astro sedia pakej jalur lebar bersama kandungan

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd menjalin perkongsian pemasaran strategik dengan Astro Malaysia Holdings Bhd bagi menawarkan jalur lebar bersama dengan kandungan.

Menerusi kerjasama dua jenama utama Malaysia itu, Astro akan melancarkan pakej jalur lebar terbaharu daripada 30 Mbps dan 100 Mbps bersama produk kandungannya untuk pelanggan dan rangkaian produk yang penuh dengan kelajuan jalur lebar lebih tinggi pada masa yang sesuai kelak.

Dalam kenyataan media bersama, dua syarikat itu berkata, perkongsian strategik berkenaan adalah tepat pada masanya kerana berlaku ketika permintaan untuk kesalinghubungan konvergen semakin bertambah dan penawaran pelbagai cabang yang menggabungkan kesalinghubungan, kandungan serta perkhidmatan.

“Perkongsian berkenaan menggunakan kekuatan kedua-dua syarikat untuk membawa nilai dan manfaat lebih besar kepada pelanggan.

“Pada masa yang sama kerjasama ini bakal mencetuskan aliran hasil baharu dan membuka pasaran baharu dengan memaksimumkan bakat serta sumber di kedua-dua syarikat, selain memacu skala dan kecekapan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Henry Tan, berkata pelanggan akan melihat nilai dan faedah yang signifikan dari penawaran itu yang membawa kandungan menarik dengan sambungan fiber berkelajuan tinggi.

“Perkongsian ini juga bakal memberikan pelanggan pengalaman lebih baik terutama bagi tontonan ‘On Demand’, yang membolehkan mereka menikmati lebih daripada 50,000 rancangan melalui kotak atas set dan peranti mudah alih,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut, berkata pihaknya yakin dengan permintaan untuk kesalinghubungan yang hebat di sebalik kempen Fibrenation, berikutan semakin ramai rakyat Malaysia melihat diri mereka sebagai pengguna asli digital.

“Kami kini menyaksikan lebih permintaan untuk penawaran yang berorientasikan keluarga dan pelbagai perkhidmatan digital lebih luas.

“Ini adalah era baharu kesalinghubungan – Konvergen. Perkongsian baharu kami dengan Astro akan memberi pelanggan satu lagi sebab untuk memilih Maxis Fiber dan mempercepatkan strategi konvergen kami dengan menawarkan fiber kepada lebih banyak kediaman di Malaysia," katanya.

Berita Harian X