Rabu, 21 Ogos 2019 | 11:50am

EA Technique rangka pelan perkukuh perniagaan

KUALA LUMPUR: EA Technique (M) Bhd merangka pelan bagi meningkatkan perniagaannya melalui pengembangan kemudahan limbungan, penyediaan bot tunda bagi perkhidmatan dermaga, penerokaan dalam pengangkutan hiliran membabitkan produk penapisan serta bahan kimia.

Pembekal pengangkutan marin itu juga membuat tawaran saham persendirian untuk mengumpulkan dana.

Pengarah Urusannya, Datuk Abdul Hak Md Amin, berkata strategi ini penting bagi mengembangkan EA Technique serta bertujuan mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran, sebagai persediaan dalam menangani permintaan sebaik sahaja bermulanya operasi Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor.

"EA Technique sedang merangka pelan pengembangan untuk membangunkan lagi syarikat. Kami mahu memperluaskan segmen pengangkutan bukan marin kepada pembinaan dan pembaikan kapal.

"Aktiviti ini dikendalikan oleh anak syarikat milik penuh kumpulan, Johor Shipyard and Engineering Sdn Bhd dan kami sedang berbincang dengan pemilik-pemilik tanah untuk membeli lapan hektar tanah yang terletak bersebelahan dengan loji kami sekarang ini yang mempunyai keluasan sekitar 8.09 hektar," katanya kepada Bernama.

Johor Shipyard mempunyai kemampuan bagi membina satu kapal tangki bersaiz 10,000 ton berat mati (dwt) atau enam unit bot tunda pelabuhan tarikan tonggak sebanyak 60 tan (Tarikan Tonggak adalah ukuran kekuatan konvensional sebuah bot atau kapal tunda).

EA Technique yang diasaskan di Malaysia, adalah antara tiga syarikat terkemuka dalam segmen pembinaan kapal tangki bersaiz kecil (15,000 dwt), peneraju operasi bot tunda pelabuhan serta luar pesisir dan perkhidmatan kapal pemunggahan serta penyimpanan terapung (FSO) termasuk kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FSPO) di negara ini.

Abdul Hak ketika mengulas mengenai persediaan untuk membekalkan kapal-kapal kepada RAPID Pengerang berkata syarikat itu sedang merancang untuk memasukkan kapal pengangkutan bahan kimia ke dalam armada EA Technique tetapi perlu memantau perkembangan operasi RAPID sebelum memuktamadkan rancangan berkenaan.

"Kami akan meneroka ke dalam pasaran kimia...kami sudah pun ada kapal tangki kimia tetapi sedang mencari peluang perniagaan yang lebih luas dalam segmen ini. Kami akan memasuki tender mereka tetapi buat masa sekarang, kami menunggu PETRONAS atau syarikat petroleum dan gas asli lain (Saudi Aramco atau Pertamina) dengan satu keperluan tempahan.

"Kami sudah pun memulakan rundingan dan tahu jumlah kapal yang diperlukan termasuk jenis yang mereka mahu, jadi kami sedang berusaha untuk melengkapkan diri kami ke arah keperluan itu," katanya.

RAPID menempatkan loji yang mampu menapis sekitar 300,000 tong sehari, di samping pelbagai kemudahan petrokimia yang boleh menghasilkan sejumlah 7.7 juta tan produk petrokimia setahun.

Sehingga 30 Jun 2019, armada EA Technique terdiri daripada 48 buah kapal (termasuk empat kapal yang sedang dibina serta dua kapal yang sedang dipajakkan daripada pihak ketiga) dengan kadar penggunaan untuk Januari hingga Mac tahun ini mencapai 76.99 peratus berbanding dengan 76.51 peratus dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. - BERNAMA

66 dibaca
Berita Harian X