Rabu, 21 Ogos 2019 | 12:19pm
SYARIKAT perkhidmatan perkongsian kenderaan Estonia, Bolt yang popular di Eropah Timur dan Afrika. - Foto REUTERS

Bolt saingi Uber di Eropah Timur, Afrika

TALLINN: Syarikat perkhidmatan perkongsian kenderaan Estonia, Bolt yang popular di Eropah Timur dan Afrika, melancarkan perkhidmatan penghantaran makanan di sini dan merancang memperkenalkan Bolt Food tahun ini di Afrika Selatan, Latvia serta Lithuania.

Bolt, yang pada awal tahun ini dikenali sebagai Taxify, menguasai perniagaan daripada Uber khususnya di beberapa bandar raya utama Afrika dan Eropah Timur.

Ia kini beroperasi di 30 negara.

Bolt adalah syarikat yang lewat memasuki pasaran penghantaran makanan, di mana beberapa syarikat pemula niaga dan firma perkongsian kenderaan sudah beroperasi selama beberapa tahun.

Ia merancang mendapatkan penguasaan pasaran dengan harga lebih rendah kepada pengguna, selain membina asas pelanggan yang luas.

“Ini pasaran yang amat kompetitif,” kata Ketua Pegawai Produk Bolt, Jevgeni Kabanov, kepada Reuters dalam satu temubual.

“Namun, kami mempunyai 25 pengguna di seluruh dunia menggunakan Bolt dan penghantaran makanan adalah permintaan popular kebelakangan ini.”

Bolt dijenamakan semula awal tahun ini bagi memastikan perkhidmatan e-hailing itu tidak dikelirukan dengan teksi, selain mewakili tawaran lebih meluas.

Ia juga melancarkan perkhidmatan sewa skuter di beberapa bandar raya terpilih.

“Saya boleh katakan penghantaran makanan adalah pelancaran produk ketiga terbesar kami. Ia amat sesuai dengan strategi kami,” kata Kabanov.

Pada separuh pertama 2019, Uber berkata pendapatan daripada Uber Eats meningkat hampir dua kali ganda daripada setahun lalu kepada AS$1.1 bilion (RM4.6 bilion).

Namun, sektor itu terbukti mencabar untuk beberapa syarikat pemula niaga, ketika pelaburan semakin mengecil berbanding tempoh kemuncaknya pada 2015.

Pemodal teroka secara umumnya menarik diri daripada sektor itu di tengah-tengah kebimbangan terhadap persaingan yang berlebihan dan penilaian tinggi bagi syarikat-syarikat yang pada dasarnya adalah tidak menguntungkan.

-Reuters

294 dibaca
Berita Harian X