Rabu, 21 Ogos 2019 | 1:36pm
GEELY Automobile Holdings Ltd.

Untung separuh tahun pertama Geely merosot 40%

SHANGHAI: Geely Automobile Holdings Ltd yang berpangkalan di China berkata, keuntungan bersih separuh tahun pertama syarikat merosot 40 peratus, ketika mana pasaran automotif negara itu berhadapan penurunan yang berterusan.

Geely, pengeluar kenderaan berprofil tinggi di China susulan pelaburannya dalam Volvo dan Daimler, mencatatkan keuntungan bersih 4.01 bilion yuan (AS$568.5 juta), berbanding dengan 6.67 bilion yuan tempoh sama tahun sebelumnya.

Penganalisis di UOB, Kenneth Lee, menjangkakan Geely melaporkan keuntungan sebanyak 4.78 bilion yuan untuk tempoh itu, demikian menurut data Refinitiv.

Jumlah pendapatan bagi separuh pertama berjumlah 47.56 bilion yuan, turun daripada 53.71 bilion yuan dalam tempoh sama 2018, katanya.

Bulan lalu, Geely merendahkan sasaran jualannya untuk tahun ini kepada 1.36 juta unit daripada 1.51 juta unit, yang bertujuan untuk mengurangkan inventori peniaga di tengah-tengah ketidakpastian dalam pasaran kenderaan secara keseluruhannya.

Geely menjual 1.5 juta kereta tahun lalu, 20 peratus lebih tinggi daripada angka jualan 2017.

Ia menjual 651,680 kenderaan antara Januari-Jun, sekitar 15 peratus lebih rendah daripada jumlah jualan sepanjang tempoh sama tahun lalu. - Reuters

161 dibaca
Berita Harian X