Rabu, 21 Ogos 2019 | 7:26pm
Jaks Resources Bhd

Untung bersih Jaks Resources meningkat

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Jaks Resources Bhd untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2019 meningkat kepada RM37.29 juta berbanding RM12.74 juta dalam suku yang sama tahun lalu.

Perolehan melonjak 86 peratus kepada RM315.43 juta berbanding RM169.99 juta sebelumnya, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

Katanya, peningkatan itu dikaitkan terutama dengan hasil tertinggi yang dikenal pasti daripada kerja-kerja pembinaan Vietnam EPC dalam bahagian pembinaan berjumlah RM226.4 juta, berbanding RM63.5 juta yang dicapai dalam suku yang sama tahun lalu berikutan jumlah kerja yang telah diselesaikan lebih tinggi.

Jaks Resources berkata bahagian pembinaan akan terus menjadi penyumbang utama dalam separuh kedua bagi tahun kewangan 2019, dengan kerja-kerja pembinaan untuk Vietnam EPC dijangka memenuhi rancangan kerja berjadual dan terus memberikan sumbangan positif kepada kumpulan sehingga projek itu siap.

“Bagi pembangunan hartanah dan bahagian pelaburan, penyerahan sebahagian daripada pembangunan hartanah telah tertangguh, mengakibatkan perbelanjaan untuk caj ganti rugi.

“Kumpulan itu akan bekerja untuk menyelesaikan projek pembangunan hartanah secepat mungkin,” katanya.

-BERNAMA

141 dibaca
Berita Harian X