Khamis, 22 Ogos 2019 | 8:43am

Untung Tune Protect susut

KUALA LUMPUR: Tune Protect Group Bhd mencatat keuntungan bersih lebih rendah pada RM10.71 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2019 berbanding RM12.81 juta setahun lalu.

Antara punca penurunan itu adalah penyusutan pendapatan premium bersih sebanyak RM10 juta dan peningkatan perbelanjaan pengurusan sebanyak RM5.2 juta, kata penginsurans digital itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.

Selain itu, perolehannya turut berkurangan kepada RM124.46 juta daripada RM141.26 juta sebelum ini susulan penyusutan pendapatan premium kasar RM18.9 juta yang diimbangi oleh kenaikan RM2.1 juta dalam pendapatan pelaburan, kebanyakannya daripada dividen dana unit amanah dan bahagian pelaburan Malaysia Motor Insurance Pool (MMIP).

Bagi suku di kajian, premium bertulis kasar (GWP) kumpulan meningkat 2.6 peratus tahun ke tahun kepada RM125.2 juta susulan GWP lebih tinggi pada RM107.4 juta yang dicatatkan oleh anak syarikat insurans am kumpulan itu di negara ini, Tune Protect Malaysia (TPM).

Bagi tempoh kewangan selama enam bulan, keuntungan bersih Tune Protect susut sedikit kepada RM29.05 juta daripada RM29.38 juta pada separuh pertama 2018 manakala perolehannya berkurangan kepada RM251.13 juta daripada RM284.22 juta.

GWP kumpulan itu susut 20.3 peratus kepada RM207.6 juta bagi tempoh itu, kebanyakannya disebabkan langkah penyusunan semula portfolio perniagaan.

Menerusi kenyataan media, ia berkata langkah itu bertujuan mencapai campuran portfolio diingini iaitu 30 peratus motor dan 70 peratus bukan motor yang menjadi sebahagian strategi kumpulan bagi memastikan kemapanan dan keuntungan perniagaan insurans amnya di Malaysia. - BERNAMA

155 dibaca
Berita Harian X