Khamis, 22 Ogos 2019 | 10:02pm

AirAsia X catat kerugian bersih RM207.11 juta pada suku kedua

KUALA LUMPUR: AirAsia X Bhd (AAX) mencatatkan kerugian bersih RM207.11 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2019 berbanding kerugian bersih sebanyak RM57.46 juta pada tempoh sama tahun lalu.

  

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, unit penerbangan jarak jauh AirAsia Group itu berkata, kerugian bersih yang ditanggung adalah disebabkan kerugian pertukaran asing yang tidak direalisasikan akibat ringgit yang lebih lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

  

Pendapatannya pada tempoh dikaji susut 4.72 peratus kepada RM1.01 bilion daripada RM1.06 bilion pada tempoh sama tahun lalu, akibat kerugian berikutan pelupusan tiga pesawat yang dijual dan pajakan semula dalam tempoh itu.

  

Bagi separuh pertama tahun 2019, keuntungan bersih AAX meningkat kepada RM163.78 juta daripada RM15.96 juta, sementara pendapatan merosot 6.44 peratus kepada RM2.18 bilion daripada RM2.33 bilion dalam tempoh sama sebelumnya.

AAX menjangkakan persekitaran operasinya akan terus mencabar ekoran latar belakang ekonomi global dan tekanan terhadap ringgit.

 "Kami juga mengambil berat mengenai pelaksanaan levi berlepas yang berkuatkuasa mulai 1 September 2019, yang berpotensi memberi kesan kepada permintaan untuk perjalanan udara," katanya.

  

Bagaimanapun, syarikat itu menjangkakan baki suku tahunan kekal sihat kerana ia terus mendorong usaha untuk mengurangkan tekanan kos.

  

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif AAX, Benyamin Ismail, berkata syarikat penerbangan itu bersedia untuk memfokuskan pertumbuhan dan kehadirannya di pasaran utama di Utara Asia, India dan Australia, dengan memanfaatkan rasionalisasi rangkaiannya yang dilaksanakan sejak dua suku lalu.

  

"Memasuki ke suku ketiga dan keempat 2019, kami berusaha ke arah meningkatkan kapasiti dan memacu penggunaan,” katanya.

384 dibaca
Berita Harian X