Khamis, 29 Ogos 2019 | 3:23pm
PRESIDEN dan Ketua Eksekutif Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Rundingan penggabungan Axiata-Telenor muktamad November

KUALA LUMPUR: Axiata Group Bhd (Axiata) yakin rundingan perjanjian rancangan penggabungannya dengan Telenor ASA dari Norway dapat dimuktamadkan menjelang awal November ini.

Presiden dan Ketua Eksekutif Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim, berkata rundingan berkenaan kini memasuki bulan keempat selepas diumumkan pada Mei lalu dan ia masih tidak tersasar daripada tempoh masa yang ditetapkan iaitu antara tiga hingga enam bulan untuk dimeterai.

Katanya, tempoh masa yang diambil itu sebenarnya tidak mencerminkan sebarang masalah dalam rundingan, sebaliknya menunjukkan bahawa terdapat banyak terma yang perlu diperhalusi dan dibincangkan.

“Perlu diingat, (jika berjaya) ini adalah penggabungan dan pengambilalihan tunggal terbesar dalam sejarah di rantau ini, selain Asia Utara sejak 20 tahun lalu.

“Ia adalah satu proses yang amat kompleks dan membabitkan 14 entiti besar di sembilan buah negara, jadi ada banyak perkara yang perlu dirunding dengan teliti.

“Pada masa ini, 70 peratus daripada kajian ketekunan wajar membabitkan pembentangan, pendedahan maklumat, perjanjian, kontrak dan sebagainya sudah disiapkan,” katanya pada sidang media selepas sesi pembentangan prestasi suku kedua Axiata di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Kewangan Axiata, Vivek Sood.

Axiata kembali mencatat keuntungan dengan merekodkan keuntungan bersih RM204.10 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2019, selepas mencatatkan kerugian bersih RM3.36 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Perolehan melonjak 4.9 peratus kepada RM6.15 bilion daripada RM5.87 bilion sebelumnya.

Keputusan kewangan yang kukuh itu disumbangkan terutama oleh prestasi semua syarikat operasi, selain daripada operasi mudah alihnya di Malaysia dan Nepal, serta didorong oleh prestasi yang lebih baik dan berakhirnya kerugian yang dialami berkaitan pelaburan kumpulan itu di India.

Pendapatan kumpulan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat 30.7 peratus kepada RM2.67 bilion pada suku keempat.

Lembaga Pengarah Axiata telah menyelesaikan dividen dikecualikan cukai menerusi sistem satu peringkat sebanyak lima sen sesaham biasa syarikat itu, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019

Sementara itu, mengulas mengenai minat yang ditunjukkan pelabur terhadap perniagaan menara telekomunikasinya, edotco, Jamaludin mengesahkan perkara berkenaan.

“Jujurnya, banyak pihak menyatakan minat mereka terhadap edotco termasuklah daripada syarikat persendirian, syarikat kewangan serta syarikat gergasi dan proses itu masih berlangsung sehingga kini.

“Bagaimanapun, di pihak kami, tiada sebarang perkembangan baharu mengenainya. Fokus Axiata adalah mengekalkan edotco sebagai sebahagian daripada proses penggabungan yang sedang berjalan,” katanya.

Berita Harian X