Selasa, 10 September 2019 | 5:14pm
HARTALEGA Holding Bhd.

Hartalega yakin terhadap pasaran AS di sebalik tekanan perdagangan

KUALA LUMPUR: Pengilang sarung tangan sintetik terbesar dunia, Hartalega Holding Bhd, yakin Amerika Syarikat (AS) akan kekal sebagai pasaran eksport terbesar walaupun wujud ketegangan berterusan dalam perdagangan.

Pengarah Urusan Hartalega, Kuan Mun Leong, berkata pada masa ini AS menyumbang 54 peratus jumlah jualannya menjelang akhir tahun kewangan 2019, berakhir pada 31 Mac.

“AS adalah pasaran utama kami, dengan 90 peratus daripadanya disumbangkan oleh sarung tangan perubatan.

“Kami menjangkakan ia kekal kukuh untuk tahun-tahun akan datang, walaupun isu perdagangan berlarutan,” katanya pada mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini, hari ini.

Selain AS, Hartalega juga mengeksport produknya ke Eropah (25 peratus), Asia Pasifik (18 peratus) dan Amerika Selatan (tiga peratus).

“Kami juga sedang mencari pasaran baharu bagi mengukuhkan perniagaan kami,” katanya.

Mun Leong juga berkata, syarikat itu optimis namun berhati-hati terhadap unjurannya memandangkan kini pengeluar China mengalihkan perniagaan mereka ke tempat lain di dunia bagi mengelak dikenakan tarif tambahan oleh kerajaan AS.

“Pasaran AS telah beralih ke Malaysia sebelum pertikaian perdagangan bermula lagi. China sebaliknya beralih ke Eropah. Kita hanya boleh menganalisis kesan penuh perang perdagangan dalam tempoh enam bulan lagi,” katanya.

Pada 1 September, kedua-dua China dan AS mula mengenakan tarif tambahan ke atas barangan masing-masing dalam siri pertikaian terbabit, dengan China mengenakan levi ke atas minyak mentah AS manakala AS mula melaksanakan 15 peratus tarif ke atas import China yang bernilai lebih AS$125 bilion, termasuk pembesar suara pintar, fon kepala Bluetooth dan pelbagai jenis kasut.

Mengenai pelan pengembangannya, Mun Leong berkata kompleks pembuatan sarung tangan bersepadu generasi akan datang akan siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang 2021, yang akan meningkatkan daya saing pengeluaran syarikat daripada 34 bilion keping kepada 44 bilion keping setahun.

“Setakat sekarang, kadar penggunaan kilang kami adalah 95 peratus, peningkatan daripada 88 peratus sebelumnya. Kami menjangkakan ia beroperasi sepenuhnya menjelang akhir tahun ini disokong oleh permintaan yang tinggi.

“Selepas selesai, kami akan mula mencari tanah baharu untuk pengembangan masa depan kami,” katanya. - BERNAMA

85 dibaca
Berita Harian X