Selasa, 10 September 2019 | 5:26pm
WESTPORTS Holdings Bhd.

Westports sasar sumbang 80 peratus keseluruhan kontena pelabuhan Klang

KUALA LUMPUR: Westports Holdings Bhd menyasarkan menyumbang kira-kira 80 peratus daripada jumlah keseluruhan kontena di Pelabuhan Klang berikutan syarikat logistik itu perlu mengendalikan rekod melebihi 10 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU).

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Ruben Emir Gnanalingam, berkata Westports seharusnya mampu mencapai kadar pertumbuhan peratusan dua angka pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya berdasarkan momentum pertumbuhan semasa.

“Seperti yang kami harapkan, Westports sedang memuktamadkan reka bentuk susun atur bagi mengembangkan kemudahan terminal kontena kami, selain dermaga tambahan bagi segmen perniagaan konvensional.

“Pengembangan ini akan membuka laluan ke arah pertumbuhan signifikan pada masa akan datang berikutan layanan kami kepada pelanggan, perikatan perkapalan kontena antarabangsa dan pihak berkepentingan logistik tempatan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Westports menyambut ulang tahun ke-25 yang mana syarikat itu menjadi terminal paling berkembang pantas, sambil mentransformasi Pelabuhan Klang menjadi pelabuhan ke-12 paling sibuk di peringkat global dan pelabuhan tersambung kesembilan terbaik dunia.

Syarikat itu memulakan operasinya pada 1994 dan merupakan satu daripada inisiatif penswastaan di bawah perdana menteri ketika itu dan pada masa ini Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sepanjang 25 tahun lalu, Westports telah mengendalikan jumlah kumulatif kendalian kontena melebihi 110 juta TEU dan 250 juta tan kargo konvensional pelbagai jenis - mengikut berat, jumlah penghantaran yang dikendalikan adalah melebihi 1.3 bilion tan metrik. - BERNAMA

112 dibaca
Berita Harian X