Khamis, 12 September 2019 | 3:50pm
SYARIKAT penerbangan Cathay Pacific Airways Ltd (Cathay Pacific).

Cathay Pacific beku pengambilan pekerja

HONG KONG: Syarikat penerbangan Cathay Pacific Airways Ltd (Cathay Pacific) membekukan pengambilan pekerja baharu, demikian menurut memo dalaman yang dilihat Reuters.

Langkah itu dibuat berikutan syarikat penerbangan berkenaan yang sedang bergelut dengan kemerosotan permintaan penumpang di tengah-tengah protes anti-kerajaan besar-besaran di Hong Kong.

Dalam memo kepada kakitangan pada petang Rabu lalu, Ketua Eksekutif baharunya, Augustus Tang, berkata beliau sudah meminta eksekutif syarikat berkenaan untuk memeriksa perbelanjaan dan memberi tumpuan untuk mengurangkan kos.

Katanya, syarikat berkenaan juga tidak akan menggantikan kakitangan yang berhenti kerja dalam jawatan bukan penerbangan melainkan ia diluluskan oleh jawatankuasa kawalan perbelanjaan.

Cathay Pacific berkata pihaknya akan mengurangkan kapasiti bagi musim sejuk akan datang selepas mencatatkan penurunan 11.3 peratus dalam jumlah penumpang pada Ogos.

Ia juga tidak menjangka prestasi bulan September akan menjadi lebih baik dan dalam masa yang sama, penganalisis turut mengunjurkan kerugian dalam separuh kedua.

Saham Cathay Pacific susut 2.4 peratus dalam dagangan awal Khamis, menyusuli kemerosotan penanda aras Indeks Hang Seng iaitu 0.4 peratus.

Permintaan yang lemah dan pengurangan kapasiti akan menambahkan tekanan ke atas Cathay dan pengurusan baharunya yang dilantik selepas Ketua Eksekutif sebelum ini, Rupert Hogg meletak jawatan bulan lalu dan pengunduran bekas Pengerusinya, John Slosar minggu lalu.

Cathay Pacific yang sedang cuba melengkapkan pelan pemulihan kewangan tiga tahunnya telah menjadi syarikat korporat terbesar di Hong Kong yang menerima kesan akibat protes yang berlaku selepas China meminta ia menggantung kakitangan yang terbabit atau menyokong demonstrasi berkenaan.

Penganalisis di Jefferies, Andrew Lee memberitahu pelanggannya bahawa beliau menjangka syarikat berkenaan itu boleh mengalami kerugian sebanyak HK$973 juta (AS$124.1 juta) dalam separuh kedua tahun ini.

Penganalisis BOCOM International, Luya You pula berkata pendapatan separuh kedua mungkin ‘mengecewakan’.

Bulan lalu, Cathay Pacific berjaya mencatat keuntungan pertamanya bagi tempoh Januari hingga Jun sejak 2016 dan pada masa itu, ia berkata prestasi separuh kedua mungkin menjadi lebih baik kerana perubahan musim. -Reuters

Berita Harian X