Jumaat, 13 September 2019 | 6:17pm
KETUA Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir. - Foto Aizuddin Saad

MPOB, FGV laksana projek percubaan komersial B20

KUALA LUMPUR: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan FGV Holdings Bhd (FGV) menjalankan satu projek percubaan B20, penggunaan campuran 20 peratus biodiesel sawit dan 80 peratus diesel petroleum, iaitu B20 bagi kenderaan diesel.

Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, berkata projek percubaan Perkhidmatan Pengangkutan FGV membabitkan pengumpulan data teknikal bagi membuktikan penggunaan B20 tidak akan menjejaskan enjin kenderaan.

“Projek percubaan itu akan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penggunaan B20 dan menunjukkan komitmen Perkhidmatan Pengangkutan FGV dalam menyokong inisiatif kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan, berkata kumpulan berharap dapat mengumpul data yang konsisten dan komprehensif dalam ujian percubaan selama enam bulan itu.

Projek itu katanya, membabitkan pemantauan kualiti B20 dengan sampel biodiesel yang diambil pada setiap penghantaran oleh pembekal.

Katanya, enam trak tangki dari Perkhidmatan Pengangkutan FGV tidak akan menjalani sebarang pengubahsuaian sepanjang tempoh percubaan itu.

“Semasa penyelenggaraan normal kenderaan 30,000 kilometer, pemeriksaan akan dilakukan pada penapis bahan api dan pemisah air manakala minyak pelincir akan dikumpulkan secara berkala dan dihantar ke makmal luaran untuk dianalisis,” katanya.

Haris berkata, kenderaan yang digunakan untuk projek itu akan dipantau dari segi pergerakan, penggunaan bahan api dan kos penyelenggaraan.

Malaysia berjaya melaksanakan B10 untuk sektor pengangkutannya bermula Februari 2019 dan B7 untuk sektor perindustrian pada Jun 2019 dalam usaha untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau yang dikeluarkan oleh kenderaan diesel.

Penggunaan kandungan minyak kelapa sawit dalam biodiesel untuk sektor pengangkutan, yang dijangka meningkat kepada 20 peratus tahun depan, akan menyumbang kepada persekitaran yang bersih.

Berita Harian X