Sabtu, 14 September 2019 | 3:47pm

Fusionex akan perkukuh perniagaan di Malaysia

KUALA LUMPUR: Syarikat kecerdasan buatan dan data besar global, Fusionex International menyasarkan untuk mengukuhkan perniagaannya di Malaysia di samping meneroka pasaran lain di rantau Asia Tenggara.

Pengarah Urusan (perusahaan dan sektor awam), Chua Yu Ye, berkata syarikat itu kini bekerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk mendorong industri untuk berkembang maju dengan memanfaatkan transformasi digital sejajar dengan Industri 4.0.

"Kami sedang berusaha ke arah membina pangkalan yang lebih kukuh di Malaysia terutamanya dalam mengembangkan asas pengguna kami dengan menjadikan pemain industri beralih daripada cara tradisional untuk lebih memanfaatkan ruang digital. Kami percaya dalam menjadikan ekosistem ini bermanfaat untuk penggiat industri, " katanya.

Beliau berkata, Rangka Kerja Industry4WRD yang dilaksanakan oleh kerajaan akan memberikan dorongan yang diperlukan untuk syarikat mengguna pakai automasi.

"Syarikat peringkat pertama (multinasional) telah mengguna pakai komponen Industri 4.0, tetapi syarikat-syarikat kecil masih ketinggalan. Kami berharap dengan dorongan yang diberikan, kami dapat menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk berkembang maju kerana Industri 4.0 adalah mengenai meningkatkan kecekapan," katanya.

Chua berkata, selain mengadaptasi Industri 4.0, perniagaan juga mesti menyasarkan pasaran asing untuk mengembangkan perniagaan mereka kerana landskap perniagaan tempatan terhad.

"Kami akan mendapatkan sebanyak mungkin PKS untuk terlibat dalam e-dagang. Sekarang, majoriti mereka menjual di dalam negara, dan kami menerusi kerjasama rapat dengan MDEC, kami percaya kami dapat menjadikan ekosistem ini lebih baik dan berjalan dengan lancar," katanya.

Mengenai prestasi kewangan Fusionex, Chua berkata syarikat itu akan berkembang maju pada tahun-tahun akan datang memandangkan ruang digital berkembang pesat di peringkat global.

"Kami telah menyaksikan pertumbuhan kukuh tahun ke tahun lebih daripada 10 kali dalam tempoh tujuh tahun lepas. Bagi tahun kewangan berakhir Mac 2019, Fusionex mencatatkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan pinjaman kira-kira RM65 juta," katanya.

-- BERNAMA

Berita Harian X