Jumaat, 20 September 2019 | 2:43pm

UEM labur semula hasil jual lebuh raya bertol Indonesia

KUALA LUMPUR: UEM Group Bhd, cabang infrastruktur Khazanah Nasional Bhd akan menggunakan sebahagian hasil penjualan keseluruhan pegangannya dalam lebuh raya bertol Cikopo-Palimanan (Cipali), Indonesia untuk pelaburan bagi pembangunan infrastruktur utama Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata langkah berkenaan akan dilaksanakan sebaik sahaja semua syarat dalam Perjanjian Jual Beli Bersyarat dipenuhi.

Canada Pension Plan Investment Board (CPPIB) dan rakan kongsinya, PT Baskhara Utama Sedaya dalam kenyataan sebelum ini mengumumkan akan bersama-sama membeli 55 peratus kepentingan dalam PT Lintas Marga Sedaya (LMS) milik PLUS Expressways International Bhd, sebuah anak syarikat UEM Group.

UEM Group pula syarikat milik penuh Khazanah.

CPPIB berkata, transaksi pembelian itu dijangka diselesaikan pada suku keempat 2019, tertakluk kepada syarat penutupan lazim, termasuk kelulusan pihak pengawalseliaan.

LMS ialah pemegang konsesi dan pengendali lebuh raya Cipali.

Lebuh raya itu adalah antara lebuh raya terpanjang di Indonesia.

Menurut UEM, ia akan terus meneroka peluang pelaburan lain di Indonesia.

Operasi syarikat itu di Indonesia akan diteruskan menerusi anak syarikatnya iaitu UEM Edgenta Bhd yang telah membuka pejabat wilayah di Jakarta pada Julai 2019 dan giat mencari peluang dalam sektor perkhidmatan pengurusan kemudahan aset dan penjagaan kesihatan, penyenggaraan jalan raya serta pengurusan projek.

Lebuh raya Cipali sepanjang 117 kilometer bukan hanya antara laluan bertol terpanjang di Indonesia malah berfungsi sebagai penghubung penting dalam rangkaian pengangkutan di pulau Jawa, selain menjadi sebahagian rangkaian Lebuhraya Bertol Trans Jawa.

-BERNAMA

Berita Harian X