Rabu, 2 Oktober 2019 | 1:10pm
(Dari kiri) Pengurus Perniagaan Pengguna, Citi Malaysia, Elaine Fan, Ketua Pegawai Eksekutif, Citi Malaysia, Lee Lung Nien, Ketua Pegawai Eksekutif, Lazada Malaysia, Leo Chow dan Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan, Lazada Group, Mary Zhou, dengan Lazada dan Kad Kredit Citi semasa pelancarannya di Kuala Lumpur. - Foto Saifullizan Tamadi
(Dari kiri) Pengurus Perniagaan Pengguna, Citi Malaysia, Elaine Fan, Ketua Pegawai Eksekutif, Citi Malaysia, Lee Lung Nien, Ketua Pegawai Eksekutif, Lazada Malaysia, Leo Chow dan Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan, Lazada Group, Mary Zhou, dengan Lazada dan Kad Kredit Citi semasa pelancarannya di Kuala Lumpur. - Foto Saifullizan Tamadi

Lazada Citi kad kredit e-dagang pertama Asia Tenggara

KUALA LUMPUR: Citi, penyedia khidmat kredit terbesar di Asia Pasifik menyasarkan lebih 500,000 permohonan kad baharu di rantau ini dalam tempoh setahun akan datang.

Sasaran itu dipacu oleh pengenalan kad kredit Lazada Citi terbaharu, kerjasama kad kredit e-dagang pertama di Asia Tenggara.

Pengurus Perniagaan Bahagian Pengguna Citi Malaysia, Elaine Fan, berkata pihaknya memilih Malaysia sebagai lokasi pertama pengenalan kad kredit Lazada Citi, diikuti pasaran serantau dalam tempoh enam bulan akan datang.

“Kami mengorak selangkah ke hadapan untuk sektor perkongsian jenama kad kredit kerana ia gabungan kerjasama antara satu jenama e-dagang yang hebat dan satu platform kewangan global yang kukuh.

“Sejak kebelakangan ini, pelanggan Citi menunjukkan trend lebih cenderung berbelanja di dalam ekosistem digital. Sebagai bank digital premier global, kami komited membawa inovasi serta penyelesaian terbaik perbankan digital untuk pelanggan,” katanya pada sidang media sempena pelancaran kad kredit Lazada Citi di sini, hari ini.

Pemegang kad bakal menikmati 10 kali mata ganjaran dengan tambah nilai di Lazada Wallet, selain menikmati pulangan tunai sehingga 20 peratus dan 1,000 mata ganjaran bonus setiap bulan bagi perbelanjaan runcit minimum RM1,500.

Permohonan baharu dalam talian juga akan menikmati baucar Lazada sehingga RM500.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Kad Kredit dan Pinjaman Peribadi Citi Rantau Asia Pasifik, Sanjay Nambiar berkata, pihaknya menyasarkan 40 peratus transaksi daripada kad kredit ini akan digunakan bagi pembelian di platform Lazada.

“Sebahagian daripada usaha berterusan untuk menjadi peneraju destinasi gaya hidup untuk rakyat Malaysia, Lazada akan terus membawakan inovasi yang menggabungkan pelbagai ganjaran, pengalaman membeli-belah hebat.

“Dengan tema ‘Play it Up’, kad kredit Lazada Citi adalah pilihan tepat dan diyakini mampu mendekati pelanggan dari golongan muda yang menjadi majoriti pengguna platform e-dagang di rantau ini,” katanya.

Setakat ini, kad kredit Lazada Citi mencatatkan sebanyak 100 permohonan baharu.

Perbankan pengguna Asia Pasifik Citi mempunyai sekitar 15.2 juta kad kredit, meliputi 12 pasaran di Asia Pasifik selain lima pasaran di Eropah, Asia Barat dan Afrika.

Ketika ini, hampir separuh daripada permohonan kad kredit dan khidmat pinjaman dijana secara digital, menyaksikan peningkatan lebih dua kali ganda dalam tempoh tiga tahun.

Berita Harian X