Khamis, 10 Oktober 2019 | 5:25pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan M+ by PETRONAS di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Aizuddin Saad

PETRONAS sedia teroka pasaran solar Asia Tenggara

KUALA LUMPUR: PETRONAS bercadang meneroka pasaran solar di beberapa negara rantau Asia Tenggara termasuk Thailand dan Vietnam bagi mengembangkan perniagaan tenaga boleh diperbaharui (RE) yang disertai sejak 2013.

Menerusi pelancaran penyelesaian solar bumbung pertamanya di kenali M+ by PETRONAS, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Power Sdn Bhd, Dr Jay Mariyappan, berkata pihaknya akan memberi tumpuan kepada Malaysia dengan meninjau pasaran sasaran iaitu sektor komersial dan perindustrian serta universiti tempatan.

“Meskipun pasaran solar di Malaysia agak kompetitif dengan penyertaan beberapa syarikat tempatan termasuk Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan peserta lain, ia masih memberi ruang kepada PETRONAS untuk berkembang.

“Kami memiliki kepakaran yang terbukti di pasaran pertama kami di India. Dengan gabungan pengalaman PETRONAS sejak 45 tahun lalu, ia pasti membolehkan kami menawarkan produk yang kompetitif kepada pelanggan.

“Justeru, kami akan bersaing untuk merebut penguasaan pasaran di negara ini dan memberi tumpuan kepada pasaran luar negara di rantau ini,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran M+ by PETRONAS di sini, hari ini.

M+ by PETRONAS dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersempena Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa (IGEM).

Hadir sama, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin; serta Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas & Tenaga Baharu PETRONAS, Adif Zulkifli.

PETRONAS memasuki pasaran industri RE menerusi pengambilalihan Amplus Energy Solutions Pte Ltd (Amplus) pada April lalu.

Menerusi produk solar bumbung M+, syarikat berkenaan memiliki kapasiti lebih 600 megawatt (MW) menerusi operasinya dan pembangunan di lebih 300 lokasi kebanyakan di India.

Jay berkata, M+ by PETRONAS yang akan menyediakan penyelesaian yang berpusatkan pelanggan dengan berkesan, bakal memberi pulangan baik kepada perniagaan syarikat minyak nasional itu.

“Buat masa ini, kami baharu saja memiliki dua pelanggan dan beberapa lagi akan tampil bekerjasama. Kami meninjau pelanggan terdiri daripada syarikat pembuatan, syarikat simen, perkapalan dan pengeluar kenderaan.

“Universiti juga menawarkan ruang kepada M+ by PETRONAS untuk memasang panel solar di atas bumbung mereka. Kami melihat potensi perniagaan ini kerana ia akan menyumbang kepada penjimatan kos pelanggan dan memberi pulangan kepada PETRONAS,” katanya.

Beliau berkata, bagi mengembangkan bahagian perniagaan RE PETRONAS, syarikat bercadang meneroka bidang lain termasuk kincir angin, biomas dan lain-lain pada masa depan.

Berita Harian X