Khamis, 10 Oktober 2019 | 5:29pm
PRESIDEN Korea Selatan, Moon Jae0in dan Naib Presiden Samsung Electronics, Jay Y. Lee menghadiri majlis menandatangani cadangan pelaburan di tapak pengeluaran Samsung Display di Asan, Korea Selatan. - Foto Reuters

Samsung Display mahu labur AS$11 bilion menjelang 2025

SEOUL: Pembekal Apple Inc, Samsung Display akan melabur 13.1 trilion won (AS$11 bilion) ke atas kemudahan dan penyelidikan untuk menambahbaik jalur pengeluaran.

Langkah itu dibuat walaupun ia berhadapan dengan lebihan bekalan yang serius disebabkan permintaan global yang lemah ke atas telefon pintar dan televisyen.

Unit Samsung Electronics Co Ltd itu berkata menjelang 2025, ia akan membelanjakan 10 trilion won ke atas kemudahan dan bakinya ke atas penyelidikan untuk menghasilkan skrin paparan yang lebih canggih.

Pengumuman pelaburan berkenaan muncul semasa pembuat panel di Korea Selatan berhadapan kesukaran untuk menangani permintaan paparan kristal cecair (LCD) bagi televisyen dan telefon pintar yang perlahan disebabkan oleh persaingan yang meningkat dari China dan perubahan panel oleh pelanggan utama.

Perbelanjaan sebanyak AS$11 bilion bagi tempoh lima tahun berikutnya akan tertumpu kepada penukaran satu daripada jalur LCD di Korea Selatan kepada skrin ‘quantum dot’ yang lebih canggih, demikian menurut Samsung Display dalam satu kenyataan.

Samsung berkata ia telah menggantung pengeluaran LCD pada bulan lalu.

Syarikat berkenaan mengendalikan enam kemudahan pengeluaran paparan termasuklah satu jalur LCD di China.

“Syarikat kami merancang untuk mengatasi krisis yang berlaku dalam industri paparan menerusi pelaburan aktif,” katanya.

Presiden Korea Selatan, Moon Jae0in dan Naib Presiden Samsung Electronics, Jay Y. Lee yang juga pewaris kepada konglomerat Samsung Group menghadiri majlis menandatangani cadangan pelaburan berkenaan di tapak pengeluaran Samsung Display di Asan, Korea Selatan.

Samsung merancang untuk memulakan operasi jalur ‘quantum dot’ yang baru dinaiktaraf pada 2021 dengan kapasiti bulanan sebanyak 30,000 keping. - Reuters

Berita Harian X