Selasa, 29 Oktober 2019 | 2:09pm

Virgin Galactic mula dagangan di NYSE

NEW YORK: Virgin Galactic memulakan dagangan sulungnya di Bursa Saham New York (NYSE), sekali gus menjadi syarikat pelancongan angkasa pertama disenaraikan di Wall Street.

Pengasasnya, Richard Branson muncul di NYSE untuk memukul gong disusuli dengan pancaran bunga api bagi menandakan bermulanya dagangan.

“Kami mempelopori beberapa pencapaian di angkasa termasuk menghantar ketua jurulatih angkasawan sebagai penumpang pertama ke ruang angkasa komersial,” kata Virgin Galactic dalam ciapan di laman Twitter.

“Hari ini, kami menerajui satu lagi projek perintis -- kini semua boleh melabur untuk masa depan.”

Saham Virgin Galactic yang akan didagangkan di bawah SPCE, susut 0.34 peratus kepada AS$11.75 (RM49.14), dengan nilai pasaran mencecah AS$969 juta (RM4.05 bilion).

Virgin Galactic menyertai NYSE selepas bergabung dengan Social Capital Hedosophia, yang sudah pun menjadi syarikat senaraian awam.

Langkah itu membolehkannya melangkau proses rasmi tawaran awam permulaan (IPO) dan membawa masuk modal AS$450 juta (RM1.88 bilion).

Ditubuhkan pada 2004, Virgin Galactic menghabiskan beberapa tahun untuk membangunkan program angkasa.

Selepas tragedi maut pada 2014, ia berjaya melepasi halangan sebanyak dua kali ke peringkat akhir.

Meskipun belum memulakan pelancaran komersialnya, syarikat itu merancang menawarkan penerbangan tanpa berat untuk enam penumpang dalam satu masa dengan tawaran tiket AS$250,000 (RM1.045 juta) bagi pelanggan pertama pada musim panas 2020.

Badan pelanggan angkasawan akan melayang di sekitar kabin kapal sambil melihat keluar dari lubang yang ada untuk meninjau bentuk melengkung bumi yang dikelilingi ruang gelap.

Lebih daripada 600 orang sudah mendaftar untuk perjalanan itu.

Branson menyertai persaingnya dalam perjalanan ke ruang angkasa, iaitu Blue Origin yang diasaskan oleh Ketua Amazon, Jeff Bezos, yang mahu menawarkan pelanggan beberapa minit tanpa berat di dalam roket kecil yang berlepas secara menegak.

Ketua Tesla, Elon Musk turut mengasaskan SpaceX, dengan sasaran menawarkan perkhidmatan perjalanan jarak jauh.

- AFP

Berita Harian X