Isnin, 4 November 2019 | 5:11pm
DATUK Mashal Ahmad (dua kiri) dan Akhramsyah Muammar Ubaidiah Sanusi (dua kanan) pada majlis menandatangani MoU di Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aziah Azmee
DATUK Mashal Ahmad (dua kiri) dan Akhramsyah Muammar Ubaidiah Sanusi (dua kanan) pada majlis menandatangani MoU di Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aziah Azmee

Lynas, MARA Corp jalin kerjasama laksana projek utama

KUALA LUMPUR: MARA Corporation Sdn Bhd (MARA Corp) menjalin kerjasama dengan Lynas Malaysia Sdn Bhd untuk melaksanakan beberapa projek utama termasuk menarik syarikat dan industri hiliran melabur ke Malaysia.

Kedua-dua syarikat berkenaan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi bekerjasama untuk tujuan berkenaan di sini hari ini.

Mengulas perkembangan itu, Pengerusi MARA Corp, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, berkata pihaknya melihat potensi tinggi dalam industri nadir bumi yang ketika ini adalah bernilai berbilion ringgit, selain daripada tidak mahu melihat peluang berkenaan terlepas ke negara lain.

Katanya, sebelum ini sebuah syarikat pengeluar magnet pernah menyuarakan hasrat membuka operasi pengeluarannya di Malaysia, namun membatalkannya selepas khuatir kehadiran mereka akan dikecam rakyat Malaysia.

"Syarikat itu kini beralih membuka operasi pengeluarannya di Vietnam. Jadi kita sudah terlepas peluang untuk sebuah syarikat pembuatan magnet berteknologi tinggi bertapak di sini dan sebaliknya beralih ke negara pesaing.

"Kita tidak boleh benarkan perkara sedemikian berulang banyak kali. Kelebihan besar Malaysia dalam ASEAN ialah ia mempunyai modal insan yang berkualiti tinggi.

"Tetapi kelebihan ini mungkin hanya boleh bertahan dalam lima tahun sahaja sebelum negara lain seperti Vietnam berjaya mengejar dan menyaingi kita dari segi ini sekali gus menyebabkan Malaysia kehilangan kelebihan terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis menandatangani MoU berkenaan.

Pada majlis itu, MARA Corp diwakili oleh Akhramsyah manakala Lynas Malaysia oleh Pengarah Urusan dan Naib Presidennya, Datuk Mashal Ahmad. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Lynas Malaysia, Amanda Lacaze.

Dalam MoU itu, selain membawa masuk syarikat hiliran ke Malaysia, kedua-dua pihak akan bekerjasama menawarkan inisiatif latihan dan pendidikan untuk rakyat Malaysia.

Ia juga akan mengkomersilkan buangan bahan bukan radioaktif 'neutralisation underflow' (NUF) dari kilangnya termasuk menjadikannya sebagai baja untuk diedarkan kepada petani luar bandar.

Sementara itu Lacaze berkata, syarikat itu sentiasa bersedia untuk menjadi sebuah pelabur langsung asing yang cemerlang di Malaysia.

"Projek usaha sama ini adalah antara kaedah lain yang kami bokeh bantu dalam membangunkan ekonomi dan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia," katanya.

Berita Harian X