Rabu, 6 November 2019 | 1:51pm
Papan tanda dipaparkan di luar ibu pejabat Xerox Corp di Norwalk, Connecticut.

Xerox pertimbang beli HP AS$27 bilion

BENGALURU: Xerox Holdings Corp sedang mempertimbangkan tawaran berbentuk tunai dan saham untuk membeli pengeluar komputer peribadi, HP Inc pada premium nilai pasaran kira-kira AS$27 bilion, lapor Wall Street Journal.

Lembaga pengarah pengeluar pencetak berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu membincangkan kemungkinan sedemikian pada Selasa, kata akhbar berkenaan, memetik individu yang rapat dengan perkembangan terbabit.

Tiada sebarang jaminan bahawa Xerox akan membuat susulan dengan tawaran atau rancangan itu akan berjaya, tambahnya.

Xerox juga sudah menerima komitmen pembiayaan tidak rasmi daripada sebuah bank utama, dikatakan sebagai ‘surat yang begitu yakin’, kata WSJ.

Kedua-dua syarikat berpangkalan di AS tidak memberikan maklum balas segera kepada permintaan Reuters untuk mendapatkan kenyataan.

Isnin lalu, Xerox berkata ia akan menjual 25 peratus kepentingannya dalam Fuji Xerox, usaha samanya dengan Fujifilm Holdings, pada harga AS$23 bilion, selepas aktivis pelabur menghalang perjanjian membabitkan kedua-dua syarikat.

Xerox membatalkan urus niaga bernilai AS$6.1 bilion untuk bergabung dengan Fujifilm tahun lalu, selepas lobi oleh dua pelabur utamanya, Carl Icahn dan Darwin Deason.

HP berdepan masalah dengan segmen perniagaan pencetaknya kebelakangan ini.

Pendapatan daripada segmen berkenaan susut lima peratus berbanding tempoh sama tahun lalu apabila ia melaporkan keputusan suku ketiganya, Ogos lalu.

-Reuters

Berita Harian X