Rabu, 6 November 2019 | 2:01pm
Pesawat Virgin Australia

Virgin Australia rancang kecilkan kapasiti domestik

SYDNEY: Virgin Australia Holdings Ltd merancang untuk mengurangkan kapasiti domestik sebanyak sekurang-kurangnya dua peratus dan mengeluarkan lima pesawat daripada rangkaiannya disebabkan berhadapan dengan permintaan yang tidak berkembang.

Syarikat itu berkata, ia juga akan mengentikan laluan Melbourne-Hong Kong yang disifatkan tidak memberangsangkan disebabkan oleh protes pro demokrasi di Hong Kong dan sebaliknya, syarikat penerbangan itu akan terbang dari Brisbane ke Tokyo.

Pengurangan kapasiti domestik itu akan dijalankan sebelum akhir Jun dan ia adalah kemuncak langkah penstrukturan yang diumumkan tahun ini.

Ia bertujuan meningkatkan hasil tambang penerbangan berikutan pendapatan dan permintaan domestik yang tidak berkembang, kata Ketua Eksekutifnya, Paul Scurrah.

“Kami menyaksikan pasaran yang mendatar berbanding pasaran yang kukuh dalam tempoh separuh pertama tahun lalu,” katanya kepada media selepas mesyuarat tahunan syarikat di Brisbane.

“Kami melihat perkara yang sama seperti apa yang dihadapi pesaing. Bulan lalu, pesaing kami, Qantas Airways melaporkan pendapatan satu tempat duduk yang tersedia untuk setiap kilometer dalam perniagaan domestik susut hampir satu peratus dalam suku tahun berakhir 30 September.

Virgin tidak memberikan sebarang kemas kini pendapatan suku tahunan.

Kumpulan itu pada Ogos lalu berkata, ia akan mengurangkan 750 pekerjaan, menggabungkan bahagian perniagaan dan melakukan semakan semula ke atas operasinya selepas berhadapan kerugian disebabkan keadaan pasaran yang perlahan dan kos bahan api yang lebih tinggi.

Scurrah berkata, syarikat penerbangan itu sedang berusaha mendapatkan hak yang sama rata antara Virgin Australia dan jenama tambang rendahnya, Tigerair Australia bagi membolehkan kedua-dua syarikat itu tidak lagi beroperasi di laluan yang sama.

Virgin akan mengeluarkan dua pesawat Airbus A320s daripada rangkaian Tigerair dan tiga pesawat Fokker 100s daripada perniagaannya yang beroperasi di rantau Australia, katanya.

Sehingga akhir Jun lalu, syarikat itu mempunyai 133 pesawat dan Virgin bersetuju untuk membeli semula 35 peratus daripada perniagaan kesetiaan penumpang yang tidak lagi dimilikinya daripada Kumpulan Affinity Equity Partners pada nilai AS$482 juta.

Scurrah berkata, perjanjian perniagaan berkenaan boleh menghasilkan penjimatan kos sebanyak AS$20 juta yang boleh digunakan untuk membantu membayar kadar faedah baharu yang dikenakan bagi membiayai pembelian terbabit.

Bulan lalu, Qantas berkata ia akan meningkatkan kapasiti domestik untuk mengekalkan pegangan pasaran berbanding Virgin.

-Reuters

Berita Harian X