Rabu, 6 November 2019 | 2:51pm
MAJLIS pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) itu menyaksikan PETRONAS diwakili Naib Presiden Pemerolehan, PD&T Kumpulan, Liza Mustapha manakala Bank Muamalat diwakili Ketua Bahagian Perbankan Perniagaannya, Nor Hamidah Abu Bakar.

PETRONAS, Bank Muamalat bekerjasama sedia pembiayaan vendor

KUALA LUMPUR: PETRONAS memperluaskan akses pembiayaan kepada vendor dalam sektor peralatan minyak dan gas (OGSE) tempatan dengan kerjasama institusi kewangan terbaharu, Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat).

Inisiatif itu dijalankan menerusi Program Pembiayaan Vendor OGSE PETRONAS dan bermatlamat mencari penyelesaian inovatif bagi manfaat semua pihak.

Naib Presiden Kanan Pelaksanaan dan Teknologi Projek (PD&T) PETRONAS, Samsudin Miskon, berkata ia adalah sebahagian daripada usaha untuk memacu pertumbuhan keseluruhan sektor minyak dan gas di negara ini.

“Ia dibuat bagi menyokong langkah kerajaan untuk merangsang pertumbuhan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Kami mendapat galakan daripada sumbangan institusi kewangan dalam usaha kolektif dan holistik ini untuk menyokong vendor OGSE tempatan.

“Kami juga teruja dengan pencapaian vendor, yang bukan sahaja mampu bertahan menghadapi masa sukar, namun lebih penting lagi terus berdaya tahan dan mendorong pertumbuhan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) itu menyaksikan PETRONAS diwakili Naib Presiden Pemerolehan, PD&T Kumpulan, Liza Mustapha manakala Bank Muamalat diwakili Ketua Bahagian Perbankan Perniagaannya, Nor Hamidah Abu Bakar.

Hadir sama ialah Ketua Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamaruddin.

Mengulas lanjut, Samsudin turut menggesa kontraktor utama PETRONAS untuk memainkan peranan lebih besar dalam membantu sub-kontraktor berjaya mendapatkan pembiayaan di bawah program ini.

Program Pembiayaan Vendor OGSE PETRONAS yang diperkenalkan pada Mei 2018 bertujuan membantu vendor OGSE tempatan yang terkesan dengan krisis harga minyak mentah untuk mendapatkan modal kerja dan menambah baik aliran tunai bagi terus beroperasi.

Sehingga 31 Oktober lalu, 111 permohonan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM730.1 juta telah diluluskan.

Dengan penambahan Bank Muamalat, program itu kini mempunyai lapan bank panel

Bank lain yang turut bekerjasama adalah Bank Islam, Malayan Banking Bhd (Maybank), RHB Bank, HSBC Bank Malaysia Bhd, United Overseas Bank (UOB), Export-Import Bank Malaysia Bhd (EXIM) dan Bank Rakyat.

Berita Harian X