Rabu, 6 November 2019 | 9:32pm

TNB meterai perjanjian penyusunan semula perniagaan

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) memeterai perjanjian bagi cadangan penyusunan semula dalamannya yang membabitkan pemindahan perniagaan penjanaan kuasa domestik dan perniagaan runcit elektrik kepada dua unit baharu, GenCo dan RetailCo.

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, TNB berkata ia telah memeterai perjanjian pembelian saham (SPA) GenCo bersyarat dan perjanjian pembelian aset (APA) GenCo bersyarat dengan anak syarikat milik penuhnya, TNB Power Generation Sdn Bhd (TPGSB), untuk pemindahan daripada perniagaan penjanaan ke TPGSB melalui satu skim.

Gergasi utiliti itu juga memeterai SPA RetailCo bersyarat dan APA RetailCo bersyarat dengan anak syarikat milik penuh TNB Retail Sdn Bhd (TRSB) untuk pemindahan perniagaan runcit kepada TRSB dengan satu skim.

Ia berkata, saham TNB Renewables Sdn Bhd (TNB Renewables) tidak lagi akan dipindahkan ke TPGSB, berdasarkan pemindahan GenCo yang dicadangkan seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 2.1.1 pada pengumuman terdahulu.

Sebaliknya, saham TNB Bukit Selambau Solar Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh TNB Renewables, kini akan dipindahkan ke TPGSB menurut pemindahan GenCo yang dicadangkan.

"Melainkan syarat-syarat terdahulu RetailCo SPA dan RetailCo APA, terma-terma penting lain RetailCo SPA dan RetailCo APA seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 2.2.3 sebelum ini, kekal tidak berubah," tambahnya.

TNB berkata, pertimbangan cadangan bagi aset dan liabiliti GenCo serta aset dan liabiliti RetailCo berdasarkan nilai bawaan bersih dalam kunci kira-kira pro forma tidak diaudit perniagaan penjanaan serta peruncitan setakat 31 Disember 2019 masing-masing adalah RM12.05 bilion dan RM2.0 bilion.

Berita Harian X