Khamis, 28 November 2019 | 7:44pm

CIMB Islamic sedia pembiayaan RM100 juta kepada PKS bagi pasaran halal

KUALA LUMPUR: CIMB Islamic Bank Bhd memperuntukkan pembiayaan sebanyak RM100 juta untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berhasrat mengembangkan perniagaan ke pasaran halal global.

Menurut bank itu, cadangan terbaharu yang dinamakan HalalBizReady itu menyediakan pakej pembiayaan untuk membantu perniagaan menyesuaikan diri dengan keperluan pensijilan halal sama ada untuk mendapatkan premis, operasi atau rantaian bekalan yang sejajar dengan keperluan itu.

“CIMB HalalBizReady adalah cadangan untuk membantu perniagaan berkembang ke luar Malaysia untuk mengakses pasaran halal global bernilai AS$2.2 trilion,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Shahriman Mohd Shariff dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bantuan pembiayaan sebanyak RM100 juta itu adalah sebahagian daripada komitmen CIMB berjumlah RM15 bilion untuk membiayai PKS, seperti diumumkan pada awal tahun ini.

“Ini menggambarkan komitmen kami untuk meningkatkan aset perbankan Islam dengan 82 peratus pertumbuhan pembiayaan PKS CIMB pada 2019 setakat ini adalah perniagaan patuh syariah.

“Di ASEAN sahaja mempunyai 242 juta umat Islam, sekali gus menyediakan kumpulan permintaan yang luas dan mampu ditembusi oleh perniagaan ini menerusi rangkaian serantau CIMB yang kukuh serta keanggotaan CIMB Trade Club,” katanya.

CIMB Trade Club adalah ekosistem e-dagang digital eksklusif yang disertai 14 bank global dan mempunyai rangkaian di lebih 50 negara bagi memperkasa syarikat yang menganggotai mereka untuk mempromosi perniagaan dan mengembangkan pasaran ke peringkat global.

HalalBizReady adalah antara cadangan penyelesaian CIMB kepada PKS yang mempunyai tiga teras iaitu urus niaga PKS, pembiayaan PKS dan kerjasama dengan industri menerusi rakan kongsi PKS.

Selain membiayai perniagaan, pakej itu juga memberikan pelanggan akses ke pasaran global dan serantau yang lebih luas menerusi platform CIMB Trade Club dan akses kepada kepakaran kerjasama strategik halal CIMB untuk membantu perniagaan menjadi sedia-halal bagi pertumbuhan selanjutnya.

– BERNAMA

Berita Harian X