Isnin, 9 Disember 2019 | 4:08pm
SANICHI Technology Bhd.
SANICHI Technology Bhd.

Taman Industri Gelatin Halal Melaka tarik minat pelabur China

KUALA LUMPUR: China State Construction Engineering Corporation (CSCEC), menyatakan minat untuk melabur di Taman Industri Gelatin Halal Melaka (MHIP) yang akan dibangunkan oleh Sanichi Technology Bhd.

Dalam satu kenyataan, Sanichi berkata CSCEC, syarikat pembinaan terbesar di dunia dari China, menduduki tempat ke-21 di Fortune Global 500 dengan pendapatan AS$181 bilion (RM753.3 bilion) dan keuntungan AS$3 bilion (RM12.5 bilion).

Sanichi adalah syarikat senaraian awam di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan aktiviti utamanya dalam pembangunan hartanah dan pembuatan acuan suntikan plastik berketepatan tinggi untuk industri automotif Eropah.

Minggu lalu, Sanichi berkata ia telah mengenal pasti sebidang tanah seluas 84.8 hektar di Kuala Linggi, Alor Gajah, Melaka untuk taman perindustrian, yang akan menempatkan kilang gelatin halal dengan aktiviti perindustrian hiliran yang berkaitan untuk pelbagai industri iaitu makanan, farmaseutikal , kosmetik, perindustrian, filem, dan lain-lain.

Anak syarikat Sanichi, BCA International SB (BCA) sedang memuktamadkan pemerolehan tanah dari Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd, dengan Lembaga Pembangunan Negeri Melaka sebagai rakan strategiknya.

Pembangunan itu akan dilaksanakan dalam dua fasa dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan kilangnya akan beroperasi menjelang pertengahan 2021 dan taman perindustrian akan siap menjelang 2025.

Taman perindustrian itu dijangka mempunyai nilai pembangunan kasar sebanyak RM1.3 bilion, manakala nilai pengeluaran pelan halal dianggarkan mencecah sehingga RM250 juta setahun.

Ia akan menempatkan kilang gelatin halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ditambah dengan aktiviti perindustrian hiliran yang berkaitan membabitkan pelbagai industri dan sektor, dari sektor makanan hingga produk farmaseutikal, kosmetik dan kesihatan.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, baru-baru ini menyatakan bahawa industri halal global menawarkan potensi besar bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk diterokai memandangkan kementerian sedang memperhebatkan usahanya untuk menarik peserta perniagaan hiliran halal ke Malaysia, yang termasuk pengeluar gelatin halal, membabitkan dari penyelidikan dan pembangunan (R&D) hingga ke pengkomersialan.

Berita Harian X