Selasa, 17 Disember 2019 | 5:25pm
INDAH Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).

IWK perluas operasi, sedia bekalan air terawat

KUALA LUMPUR: Syarikat pembentungan air kumbahan nasional, Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) bakal memperluas operasinya dengan menyediakan bekalan air terawat bagi pengguna industri tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, M Narendran, menjelaskan ia susulan penghasilan penghasilan air terawat di IWK sudah mencapai kapasiti sebanyak 5,500 liter sehari di seluruh negara.

Bagaimanapun, katanya, IWK kini sedang menunggu maklum balas daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), sebelum ia dibawa untuk pertimbangan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar.

"Diakui ia (membekal air terawat) memerlukan kos besar tetapi tarif bagi pengguna industri adalah pada kadar agak tinggi dan kita boleh jualnya di bawah nilai pasaran semasa.

"Bekalan air terawat ini akan dijual secara pukal kepada operator air dan mereka (operator air) yang akan menjualnya semula kepada pengguna industri," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Pengerusi IWK, Amiruddin Abdul Aziz turut melancarkan buku khas berjudul 'Memacu Negara' sempena ulang tahun ke-25 syarikat berkenaan.

Dalam pada itu, Narendran menjelaskan, tarif pembentungan baharu IWK dijangka dimuktamadkan pada suku pertama 2020, selepas permohonan mengenainya diluluskan Xavier.

"Kita melihat sama ada untuk menyelaraskan tarif domestik atau kenaikan minimal sebanyak RM2. Bagaimanapun, golongan B40 dan rakyat yang berada dalam senarai e-Kasih akan menerima subsidi bagi kenaikan ini.

"Kenaikan tarif ini bertujuan mengurangkan subsidi dan kebergantungan kepada kerajaan, selain ia sangat minimum. Kos operasi sebenar ketika ini adalah RM18 tetapi caj dikenakan hanyalah lapan sen per meter padu," katanya.

Mengenai pengebilan bersepadu air dan pembetungan IWK, beliau berkata, ia dijangka dimulakan pada tahun depan dengan proses menandatangani dokumen berkaitan bersama salah sebuah operator air, Jumaat ini.

"Pengebilan bersepadu ini bertujuan meningkatkan kecekapan kadar kutipan tahunan yang ketika ini hanya antara 57 hingga 58 peratus sahaja. Kita mahu meningkatkannya kepada 90 peratus.

"Selain itu, kita juga mahu memudahkan pelanggan membuat pembayaran bil apabila kedua-duanya digabungkan selepas ini," katanya.

Berita Harian X