Selasa, 14 Januari 2020 | 12:34pm

Visa beli syarikat pemula fintech RM21.5 bilion

NEW YORK/BENGALURU: Visa Inc bersetuju untuk membeli syarikat pemula perisian, Plaid Inc, dalam satu urus niaga bernilai AS$5.3 bilion (RM21.5 bilion).

Urus niaga itu akan meningkatkan akses penyedia pembayaran itu ke dalam ruang teknologi kewangan (fintech) yang semakin berkembang pesat.

Ia turut mencerminkan bagaimana firma kewangan tradisional sanggup membayar nilai tinggi untuk mengambil alih perniagaan yang mempunyai kedudukan mantap dalam menyediakan perkhidmatan untuk ekonomi digital dan tanpa tunai.

Teknologi Plain membolehkan pengguna menghubungkan akaun bank dengan aplikasi mudah alih seperti Venmo, Acorns dan Chime.

Firma berpangkalan di San Francisco itu berkata, sistemnya digunakan oleh seorang daripada empat pengguna di Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai akaun bank.

Harga yang dikemukakan seperti dalam kenyataan itu adalah dua kali ganda nilai dilaporkan Plaid semasa aktiviti penjanaan dana terakhirnya, apabila ia memperoleh pusingan Siri C AS$250 juta (RM1.015 bilion) yang diumumkan pada Disember 2018.

Plaid kemudiannya mendedahkan bahawa Visa dan pesaingnya, Mastercard Inc adalah pelabur semasa pusingan berkenaan.

“Plaid adalah pemimpin dalam dunia fintech yang pesat berkembang,” kata Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Visa, Al Kelly dalam satu kenyataan.

“Pengambilalihan itu, yang digabungkan dengan bersama usaha fintech kami yang sedang dijalankan, akan membolehkan Visa memberikan nilai lebih tinggi kepada institusi kewangan serta pengguna.”

Diasaskan pada 2013 dan ketika ini menghubungkan lebih 11,000 institusi kewangan merentasi AS, Kanada serta Eropah, Plaid akan dapat menggunakan pengambilalihan itu untuk memanfaatkan jenama global Visa bagi mengembangkan perniagaannya sendiri, kata seorang sumber yang rapat dengan perkara berkenaan.

Visa menjangkakan urus niaga itu akan dimuktamadkan dalam tempoh tiga hingga enam bulan lagi dan memanfaatkan perolehan sesahamnya pada akhir tahun ketiga.

Visa berkata, ia akan membiayai urus niaga itu menggunakan tunai dalam tangan, selain hutang yang akan diterbitkan pada tarikh akan datang.

Pengambilalihan itu tidak akan memberikan impak kepada pelan dividen Visa yang diumumkan sebelum ini.

Visa dan Plaid masing-masing menggunakan Lazard serta Goldman Sachs sebagai penasihat kewangan. - Reuters

Berita Harian X