Rabu, 15 Januari 2020 | 12:53pm
Gambar fail, Pesawat Southwest Airlines Boeing 737 MAX di Lapangan Terbang Logistik Southern California di Victorville, California. - Foto AFP

Malaysia Airlines gantung tempahan Boeing 737 MAX

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines menggantung tempahan 25 Boeing 737 MAX, berikutan penangguhan pesawat itu kembali beroperasi sejak dihentikan tahun lalu susulan dua nahas udara.

“Berikutan penamatan pengeluaran dan penangguhan 737-MAX untuk kembali beroperasi, Malaysia Airlines menggantung tempahannya,” kata syarikat penerbangan itu dalam satu e-mel.

Malaysia Airlines dijadualkan menerima penghantaran 737 MAX pertamanya Julai ini, namun tahun lalu, Ketua Pegawai Eksekutifnya berkata perkhidmatan sulung pesawat itu mungkin akan bermula lebih lewat daripada itu.

Boeing melaporkan tempahan bersih tahunan yang terburuk dalam tempoh beberapa dekad, selain jumlah penghantaran pesawat yang terendah dalam tempoh 11 tahun.

Ia berikutan pemberhentian 737 MAX menyaksikannya tertinggal jauh di belakang pesaing utamanya, Airbus.

Boeing tidak memberikan maklum balas segera kepada permintaan mendapatkan kenyataan mengenai keputusan Malaysia Airlines menggantung tempahan pesawat berkenaan.

Kerajaan sedang mencari pembeli syarikat penerbangan yang menanggung hutang besar itu, yang masih lagi cuba pulih daripada dua tragedi pada 2014, apabila pesawat MH370 hilang dan penerbangan MH17 ditembak di timur Ukraine.

-Reuters

Berita Harian X