Rabu, 15 Januari 2020 | 3:16pm
KETUA Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Bhd, Idham Nawawi.

Celcom pertimbang tambah perbelanjaan untuk 5G

PETALING JAYA: Celcom Axiata Bhd masih meneliti kemungkinan meningkatkan kuantum perbelanjaan modal yang diperlukan susulan pengenalan teknologi 5G, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Idham Nawawi.

Beliau berkata, perkara itu masih diteliti memandangkan perbelanjaan modal juga bergantung kepada pelbagai faktor seperti spektrum berkaitan, sambil menegaskan pelaksanaannya akan turut meningkatkan perbelanjaan.

“Jika merujuk kepada trend (sebelum ini), teknologi baharu yang diperkenalkan turut meningkatkan perbelanjaan modal dan akan hanya stabil dua atau tiga tahun selepas itu.

“Kami telah menyaksikan senario itu berlaku menerusi langkah peralihan kepada 2G, 3G dan seterusnya 4G,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) syarikat telekomunikasi itu dengan Alliance Bank Malaysia Bhd bagi menawarkan ketersambungan serba lengkap serta bebas gangguan bagi perusahaan kecil dan sederhana.

Idham berkata, syarikat telekomunikasi itu juga mempunyai panduan perbelanjaan modal antara RM700 juta dan RM800 juta setahun bagi 'senario biasa perniagaan', walaupun akan diselaras semula bagi mengambil kira 5G berkenaan.

Ditanya sama ada Celcom akan bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi lain dalam bidaan spektrum 5G baharu itu, beliau berkata : “Hanya masa yang akan menentukan dan kami meneliti semua pilihan yang ada.”

Pada masa ini, Celcom sedang menjalankan projek demonstrasi 5G menerusi kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia dan Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan membabitkan pelaksanaan Keamanan dan Keselamatan Bandar Pintar 5G.

Menurut syarikat itu, teknologi 5G akan menawarkan keberkesanan keselamatan dan pengawasan menerusi penggunaan kamera pemantauan video langsung panorama 4K berdefinisi ultra tinggi (UHD) 360 darjah yang dipasang di lokasi popular, Pantai Cenang di Langkawi.

Selain itu, teknologi Kawalan Sempadan Digital 5G Celcom juga sedang dilaksanakan di Pelabuhan Langkawi yang menawarkan penambahbaikan sistem pengawasan keselamatan dan keamanan untuk kemudahan pihak berkuasa pelabuhan Langkawi, Dermaga Tanjung Lembung menjalankan operasi harian secara lancar.

“Ini bukan sekadar demonstrasi projek tetapi kes sebenar yang boleh diteruskan sebagai kaedah baharu bagi sektor-sektor terbabit," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X