Rabu, 15 Januari 2020 | 6:55pm

RSPO gantung pensijilan sebahagian ladang FGV

KUALA LUMPUR: Badan pengawas industri minyak sawit global ia menggantung proses pensijilan kelestarian bagi beberapa ladang FGV Holdings Bhd, selepas pengeluar minyak sawit terbesar di dunia itu gagal memenuhi piawaian buruh.

Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dalam satu kenyataan berkata ia juga menggantung semula pensijilan Kilang Sawit Serting FGV selepas penemuan “tidak memuaskan” daripada audit kilang pemprosesan minyak sawit dan pangkalan bekalannya.

RSPO pertama kali menggantungkan sijil Kilang Sawit Serting dan pangkalan bekalannya pada 2018 selepas penyiasatan mendapati tanda-tanda buruh paksa, amalan mengeksploitasi buruh, dan pengawasan yang lebih rendah terhadap kontraktor yang mengupah buruh asing syarikat itu.

“Menjadi tanggungjawab semua ahli untuk memastikan hak manusia dan buruh dilindungi dan semua aduan arahan panel mesti dipatuhi dan dilaksanakan dalam tempoh masa yang ditetapkan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Interim RSPO, Bakhtiar Talhah dalam satu kenyataan.

Penggantungan sebelum ini ditarik balik pada Ogos tahun lalu dan panel aduan RSPO berkata ia akan membuat pemeriksaan tetap untuk memastikan pematuhan FGV.

Bagaimanapun, audit pada Oktober mendapati pekerja asing terus menghadapi masalah, dan terdapat kekurangan bukti bahawa syarikat memastikan gaji dan keadaan kerja mereka sejajar dengan undang-undang buruh domestik, kata RSPO dalam surat berasingan kepada FGV.

FGV juga gagal memastikan pekerja asing yang baharu diambil bekerja tidak membayar ejen mereka yuran pengambilan pekerja yang tidak perlu, dan mereka telah diberi taklimat secukupnya mengenai keadaan kerja masa depan mereka, kata badan pengawas itu.

Semua kerja untuk mencapai pensijilan bagi unit pengurusan FGV yang tidak disahkan digantung, kata RSPO.

Jurucakap FGV berkata, syarikat itu akan merayu keputusan berkenaan dan mendapatkan penjelasan lanjut daripada RSPO.

“FGV secara rasminya akan merayu keputusan ini kepada panel aduan dan RSPO berikutan perkembangan terkini kemajuan FGV dan pelan tindakan, yang mana semua dalam proses dilaksanakan,” kata FGV dalam satu kenyataan.

RSPO adalah badan pengguna, kumpulan hijau dan syarikat perladangan yang bertujuan untuk mempromosikan penggunaan produk sawit lestari. Ia digunakan oleh pembeli Eropah sebagai penanda aras kelestarian antarabangsa.

-Reuters

Berita Harian X