Rabu, 15 Januari 2020 | 9:11pm

Al-Ikhsan, Skechers jalin kerjasama

PETALING JAYA: PERUNCIT barangan sukan terkemuka, Al-Ikhsan Sports mengumumkan kerjasama baharu dengan syarikat kasut prestasi dan gaya hidup antarabangsa, Skechers bagi pelancaran koleksi kasut eksklusif di bawah dua jenama terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan Sports, Vach Pillutla berkata, menerusi kerjasama itu, sebanyak 28 kasut pelbagai gaya dan warna akan dilancarkan secara berperingkat yang menjanjikan harga RM199 dan ke bawah.

Jelas beliau, sebagai permulaan, sembilan kasut dilancarkan pada bulan ini membabitkan dua kasut lelaki dan tujuh kasut perempuan.

“Menyediakan keperluan untuk lebih 15 juta pengamal sukan di seluruh negara, menjadi keutamaan Al-Ikhsan Sports untuk sentiasa memastikan barangan sukan berkualiti mampu dimiliki semua.

“Kerjasama ini bukan saja menyokong objektif terbabit malah secara tidak langsung mendorong pertumbuhan perniagaan lebih baik buat kedua-dua belah pihak,” katanya pada sidang media pelancaran kerjasama berkenaan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Vach berkata, Al-Ikhsan pada tahun lalu merekodkan lebih 30,000 pasang kasut Skechers terjual sekali gus mencatatkan peningkatan kira-kira 367 peratus bagi jualan jenama berkenaan di cawangannya.

“Kita jangkakan pertumbuhan sekali ganda direkodkan untuk Skechers pada tahun ini dengan sasaran jenama ini memasuki sekitar 30 cawangan Al-Ikhsan Sports lagi menjadikan semuanya 90 cawangan tersedia kasut Skechers.

“Manakala bagi sasaran pertumbuhan keseluruhan perniagaan Al-Ikhsan Sports, kita tetapkan peratusan sama seperti tahun lalu iaitu 20 peratus,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga menyasar menambah 12 cawangan Al-Ikhsan Sports lagi di Semenanjung pada tahun ini selain satu di Kota Kinabalu, Sabah menjelang akhir tahun.

Al-Ikhsan Sports yang ditubuhkan pada 1993 kini memiliki kira-kira 130 cawangan di Semenanjung Malaysia.

Dalam pada itu, Naib Presiden Skechers Asia Tenggara, Zann Lee yang turut hadir pada pelancaran itu berkata, pihaknya menjangka memperkenalkan rangkaian kasut “kembali ke sekolah” pada November tahun ini.

“Kasut ini dibawa secara eksklusif untuk Al-Ikhsan Sports, berwarna hitam, khusus untuk kanak-kanak. Ketika ini, kita hanya membawa masuk kasut kanak-kanak pada musim perayaan dan buat pertama kalinya untuk rangkaian ‘kembali ke sekolah’, pada akhir tahun nanti,” katanya.

Berita Harian X