Khamis, 16 Januari 2020 | 10:47am
Ketua Eksekutif Goldman Sachs, David Solomon.

Untung Goldman Sachs terjejas, peruntuk AS$1.1 bilion selesai skandal 1MDB

NEW YORK: Goldman Sachs melaporkan penyusutan keuntungan suku keempat berikutan prestasi bercampur-campur dalam perniagaannya.

Bank terkemuka global itu menyisihkan AS$1.1 bilion (RM4.48 bilion) sebagai jangkaan bagi penyelesaian berkaitan skandal 1MDB.

Ketua Eksekutifnya, David Solomon, berkata ‘peruntukan’ sebanyak AS$1.1 bilion itu adalah berkaitan 1MDB, dana pelaburan Malaysia yang mana bank Amerika Syarikat (AS) itu membantu menjana dana AS$6.5 bilion (RM26.46 bilion).

Jabatan Kehakiman AS telah menyatakan, lebih daripada AS$4.5 bilion (RM18.32 bilion) dicuri daripada 1MDB oleh pegawai peringkat tinggi dan rakan-rakan mereka antara 2009 dan 2015.

Skandal itu telah mendesak secara perubahan mendadak politik di Malaysia dan menyaksikan dua bekas pegawai Goldman didakwa dan seorang daripadanya sudah mengaku bersalah.

Rundingan penyelesaian pihak berkuasa AS dan Malaysia ‘masih berlangsung dan kekal aktif’, kata Solomon kepada penganalisis dalam satu sidang dalam talian.

"Kami berusaha keras untuk menyelesaikan perkara ini secepat mungkin," katanya.

"Sejak beberapa tahun lalu, kami telah mengambil masa untuk menilai kedudukan kami dan bertindak untuk memastikan budaya integriti, kerjasama dan pertumbuhan akan pulih kembali susulan daripada pengalaman ini," katanya.

“Usaha ini akan berterusan.”

Caj perundangan menjadi antara punca penurunan 25.8 peratus keuntungan suku keempat Goldman, iaitu kepada AS$1.7 bilion (RM6.92 bilion), dalam pada peningkatan pendapatan sebanyak 25.4 peratus kepada AS$9.0 bilion (RM36.64 bilion).

Selain kos undang-undang yang besar, Goldman juga banyak berbelanja untuk pampasan dan faedah dan teknologi.

Goldman mengalami penurunan dalam pendapatan perniagaan khidmat nasihat kewangan akibat penyusutan "ketara" dalam aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A).

Namun begitu, bahagian utama Goldman yang lain mencatat pendapatan lebih tinggi.

Ini termasuk perniagaan pengurusan aset, yang dipacu oleh keuntungan tinggi dalam ekuiti pada suku keempat, serta pasaran global, yang meraih manfaat daripada peningkatan urus niaga produk kewangan yang berkaitan kadar faedah dan komoditi.

Solomon diiktiraf sebagai bank dengan prestasi "kukuh" pada suku keempat susulan situasi ekonomi yang lebih baik, dengan pemulihan sentimen berikutan kemajuan dalam isu perang dagangan AS-China serta Brexit. - AFP

Berita Harian X