Khamis, 16 Januari 2020 | 2:22pm

Sime Darby Plantation jual ladang di Liberia

KUALA LUMPUR: Sime Darby Plantation Bhd (SDP) melupuskan keseluruhan kepentingannya dalam anak syarikat milik penuhnya, Sime Darby Plantation Investment (Liberia) Private Limited (SDP Liberia).

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, SDP berkata, ia sudah memuktamadkan pelupusan kepentingan kepada Mano Palm Oil Industries Limited (MPOI) dengan pertimbangan tunai AS$1 ditambah dengan bayaran keluar yang akan ditentukan oleh purata harga minyak sawit mentah (CPO) dan pengeluaran CPO masa depan SDP Liberia.

“Pertimbangan bayaran keluar akan dijelaskan setiap suku tahun bagi tempoh lapan tahun bermula April 2023 berdasarkan Perjanjian Jual Beli yang dimeterai oleh SDP Investment (Liberia) dan MPOI pada 12 Disember lalu.

“Pelupusan ini dijangka tidak mempunyai kesan material kepada pendapatan, konsolidasi aset bersih dan konsolidasi pengearan SDP bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

“Tiada seorang pun daripada pengarah atau pemegang saham utama SDP atau individu berkaitan dalam aktiviti pelupusan mempunyai apa-apa kepentingan secara langsung atau tidak langsung,” katanya.

Menurut SDP, susulan langkah pelupusan itu, SDP Liberia secara tidak langsung bukan lagi anak syarikatnya.

“Bagaimanapun, SDP akan terus memberikan perkhidmatan kepada pelanggan perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan perniagaan kepada pelanggan (B2C) multinasional di Afrika,” katanya.

SDP Liberia adalah syarikat yang diperbadankan di Liberia pada 2009.

Pada dasarnya, syarikat itu terbabit dalam aktiviti penanaman kelapa sawit membabitkan keseluruhan 10,300 hektar tanaman setakat ini.

MPOI pula adalah anak syarikat Mano Manufacturing Company (MANCO) dan ia terbabit dalam pembelian CPO serta mengeksportnya ke pelbagai destinasi di seluruh Afrika Barat.

MANCO adalah syarikat tempatan Liberia yang ditubuhkan sejak 1967 dan menjadi pengeluar sabun, peluntur dan bahan pencuci.

Untuk rekod, SDP memeterai perjanjian konsesi selama 63 tahun dengan kerajaan Liberia bagi membangunkan tanah seluas 220,000 hektar untuk penanaman kelapa sawit dan getah.

Konsesi berkenaan menyumbang satu perlima daripada jumlah keseluruhan simpanan tanah SDP, tetapi sehingga kini hanya 10,000 hektar yang ditanam disebabkan oleh faktor seperti wabak ebola dan standard persekitaran yang lebih ketat.

Berita Harian X