Selasa, 21 Januari 2020 | 12:52pm
Uber Technologies Inc akan menjual Uber Eats kepada Zomato dalam urus niaga bernilai RM700 juta.

Uber jual perniagaan penghantaran makanan di India

HONG KONG: Uber Technologies Inc akan menjual Uber Eats kepada pesaing domestiknya, Zomato dalam urus niaga bernilai AS$172 juta (RM700 juta), menurut individu yang mempunyai pengetahuan mengenai transaksi itu.

Ia mencerminkan usaha gergasi e-hailing itu untuk mengurangkan operasinya yang mencatatkan kerugian.

Uber bersetuju untuk menjual perniagaan itu sebagai pulangan mendapatkan 9.99 peratus kepentingan dalam syarikat pemula India itu, sekali gus mengekalkan kedudukannya dalam salah satu arena Internet paling pantas berkembang di dunia, kata syarikat terbabit dalam satu kenyataan.

Sebagai sebahagian urus niaga itu, syarikat Amerika Syarikat (AS) berkenaan akan menutup operasinya, namun mengalihkan semua restoran, syarikat penghantaran dan pelanggan kepada Zomato.

Kedua-dua syarikat tidak memberikan butiran kewangan, namun individu itu berkata nilai saham Zomato yang diperoleh Uber dianggarkan kira-kira AS$172 juta (RM700 juta).

Syarikat pemula India itu kali terakhir dinilai pada AS$2.2 bilion (RM8.95 bilion).

Urus niaga berkenaan menandakan satu lagi pusingan gelombang penggabungan yang berlaku dalam sektor penghantaran makanan.

Uber, yang diniagakan di bawah harga tawaran awam permulaan (IPO), berusaha untuk menamatkan operasinya yang mencatatkan kerugian bagi mencapai sasaran keuntungan menjelang 2021.

Walaupun ia terus bekerjasama dengan Ola, yang turut disokong oleh SoftBank Group Corp dalam operasi e-hailing, keluar daripada perniagaan makanan boleh membantunya mengawal kerugian dalam salah satu pasaran paling kompetitif di rantau ini.

Pengasas SoftBank, Masayoshi Son, menzahirkan kekagumannya terhadap usaha syarikat itu untuk mengurangkan kerugian dan menumpukan kepada meraih keuntungan.

Uber memulakan perniagaan penghantaran makanan di India pada 2017 dengan bajet pemasaran yang besar.

Syarikat berpangkalan di San Francisco itu memberikan sumbernya kepada operasi berkenaan untuk menarik pengguna dengan menawarkan makanan murah dihantar ke rumah.

Namun, ia perlu bersaing dengan syarikat yang mempunyai pelabur mantap.

Swiggy yang disokong oleh Naspers dan Zomato, yang mendapat sokongan Ant Financial milik Jack Ma kini menguasai sektor penghantaran makanan di India.

-Bloomberg

Berita Harian X