Khamis, 27 Februari 2020 | 1:56pm
MENARA Bank Islam. NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
MENARA Bank Islam. NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Untung sebelum zakat, cukai BHB RM1.2 bilion

KUALA LUMPUR: BIMB Holdings Bhd (BHB) mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) RM1.2 bilion bagi tahun kewangan 2019, meningkat 13.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Kedua-dua perniagaan perbankan Islam dan takaful masing-masing menunjukkan prestasi yang kukuh.

Perolehan sesaham BHB meningkat 44.75 sen berbanding 40.36 sen pada tahun kewangan sebelumnya.

Sepanjang tempoh dikaji, keuntungan bersih boleh diagih kepada pemegang saham meningkat sebanyak 15.4 peratus atau RM104.8 juta kepada RM786.9 juta.

Pada 29 November 2019, Lembaga Pengarah BHB mengisytiharkan pembayaran dividen interim satu peringkat bernilai RM282.3 juta atau 16.0 sen bagi setiap saham biasa untuk tahun kewangan 2019.

Daripada jumlah yang diisytiharkan, kira-kira 62.89 peratus atau RM177.8 juta telah diagihkan sebagai dividen tunai.

Manakala, baki 37.11 peratus berjumlah RM104.4 juta telah diagihkan melalui Pelan Pelaburan Semula Dividen (DRP) pada kadar RM3.68 sesaham.

Kumpulan Bank Islam (Bank Islam) mencatatkan PBZT RM843.5 juta bagi tahun kewangan 2019, meningkat RM33.2 juta atau 4.1 peratus berbanding tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi Bank Islam yang kukuh sebahagian besarnya disumbangkan oleh jumlah pendapatan lebih tinggi susulan pertumbuhan pembiayaan bersih lebih teguh sebanyak 8.3 peratus.

Kualiti aset Bank Islam juga kekal teguh dan berdaya tahan, seperti yang digambarkan oleh nisbah pembiayaan terjejas kasar rendah atau 0.86 peratus pada akhir 2019.

Ia lebih rendah berbanding 1.51 peratus yang dicatatkan sistem perbankan pada akhir Disember 2019.

Sementara itu, Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (Takaful Malaysia) merekodkan peningkatan PBZT 23.9 peratus kepada RM417.7 juta bagi tahun kewangan, berbanding RM337.0 juta pada tahun sebelumnya.

Pencapaian ini diraih menerusi fi wakalah bersih yang lebih tinggi susulan pengukuhan perniagaan takaful keluarga serta kenaikan dalam pendapatan bersih pelaburan.

Pendapatan operasi Takaful Malaysia meningkat sebanyak 18.4 peratus kepada RM3.1 bilion pada tahun kewangan 2019.

Berita Harian X