X
Isnin, 23 March 2020 | 12:06pm
Penanda penjarakan sosial ditempatkan di kedai dan jendela kaunter pembayaran stesen Shell - Foto ihsan Shell Malaysia
Penanda penjarakan sosial ditempatkan di kedai dan jendela kaunter pembayaran stesen Shell - Foto ihsan Shell Malaysia

COVID-19: Shell sedia garis panduan di semua stesen

KUALA LUMPUR: Shell Malaysia komited untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pelanggan serta kakitangannya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Bagi tujuan itu, syarikat telah melaksanakan beberapa garis panduan pencegahan bagi memastikan semua stesen Shell dalam keadaan selamat untuk pelanggan dan kakitangan.

Shell mengambil langkah ketat untuk memastikan pembasmian kuman di kawasan sentuhan tinggi di semua 950 stesennya seluruh negara.

Ini termasuklah di kawasan mengisi minyak, Shell Selecy dan kemudahan yang selalu dilalui atau digunakan pelanggan.

Setiap jam, kawasan sentuhan tinggi seperti pam petrol, nozel, dispenser udara, pemegang pintu, kawasan juruwang, dispenser tisu, suis, paip dan disingki akan dinyahkuman.

Shell turut melaksanakan pembasmian kuman setiap di semua titik sentuhan pelanggan termasuk skrin sentuh mesin kopi, kaunter Deli2go, ruang pastri dan pemegang ruang jualan.

Kekerapan kerja pembersihan tandas Shell turut ditingkatkan kepada setiap jam, dengan langkah-langkah memastikan bekalan air dan sabun sentiasa ada.

Selain itu, penanda penjarakan sosial (social distancing) turut ditempatkan di kedai dan jendela kaunter pembayaran.

Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd, Shairan Huzani Husain, berkata keselamatan dan kebersihan stesen adalah perkara paling penting kepada syarikat.

“Dengan semua ketidaktentuan berikutan situasi sekarang, kami mahu memberikan kelegaan kepada pelanggan semasa mereka berada di stesen Shell.

“Kami memberi jaminan kepada rakyat bahawa Shell komited untuk menyediakan persekitaran bersih dan selamat untuk pelanggan di stesen,” katanya dalam satu kenyataan.

Shell juga meminta semua pelanggan supaya kekal berhati-hati mengamalkan tabiat keselamatan seperti menggunakan pencuci tangan dengan kerap semasa berada di stesen.

Ia turut menasihatkan supaya menanggalkan sarung tangan atau plastik bagi mengelakkan kontak statik semasa mengisi minyak.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X