Rabu, 25 March 2020 | 7:58pm

Hong Leong Bank, Hong Leong Islamic tawar penangguhan bayaran balik pinjaman secara automatik

KUALA LUMPUR: Hong Leong Bank Bhd (HLB) dan Hong Leong Islamic Bank (HLISB), akan menawarkan penangguhan pembayaran balik pinjaman secara automatik selama enam bulan berkuat kuasa 1 April ini

Ia bagi semua pelanggan individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ini sejajar dengan pematuhan langkah terbaharu Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membantu peminjam atau pelanggan yang berdepan kekangan kewangan sementara akibat wabak COVID-19, kata bank itu dalam satu kenyataan hari ini.

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Domenic Fuda, berkata penangguhan pembayaran balik itu dapat meringankan bebanan perniagaan serta isi rumah selain memberi bantuan diperlukan peminjam yang terkesan secara langsung dan sebaliknya akibat penularan virus itu.

“Semua pinjaman PKS dan individu termasuk automotif, rumah, gadai janji, pinjaman peribadi atau pembiayaan akan diberi penangguhan automatik selama enam bulan dan pelanggan boleh memilih untuk tidak menikmati kemudahan ini dengan meneruskan pembayaran bulanan mereka seperti biasa.

“Bagi pemegang kad kredit, mereka mempunyai pilihan untuk penukaran baki terkumpul kad kredit ke dalam bentuk pinjaman/pembiayaan bertempoh tidak melebihi tiga tahun pada kadar faedah/keuntungan 13 peratus setahun dan pelanggan boleh terus menggunakan kad itu dan membayar bayaran bulanan kad seperti biasa.

“Kalangan pelanggan korporat juga boleh memilih penangguhan bayaran balik pinjaman itu menerusi pengurus masing-masing dan akan dinilai mengikut kes,” katanya.

Fuda berkata, bank itu akan terus menyediakan sokongan sewajarnya bagi membolehkan pelanggan memastikan cabaran aliran tunai jangka pendek tidak menjadi masalah peningkatan perniagaan untuk jangka panjang.

Bank itu akan terus menyalurkan bantuan kepada PKS menerusi Tabung Khas BNM untuk PKS yang menawarkan pembiayaan sehingga RM1 juta dengan tempoh pembiayaan sehingga 5.5 tahun dan kadar pembiayaan ditetapkan pada 3.75 peratus setahun. - Bernama

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X