Jumaat, 27 March 2020 | 2:03am
Beberapa pesawat AirAsia X di klia2, sepang.
Beberapa pesawat AirAsia X di klia2, sepang.

AirAsia cari pelabur bantu kewangan AirAsia X

HONG KONG: AirAsia Group Bhd mengkaji pilihan kepada anak syarikat jarak jauhnya AirAsia X Bhd termasuk mencari pelabur bagi membantu kewangan syarikat itu.

Syarikat tambang rendah itu juga mengkaji alternatif lain termasuk mendapatkan sokongan dari Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) atau menggabungkan AirAsia X ke dalam kumpulan itu, kata sumber.

Sumber, yang enggan identitinya didedahkan kerana perbincangan itu sulit, berkata penutupan operasi AirAsia X juga menjadi antara pilihan kumpulan itu.

Pengasas AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, juga sudah berbincang dengan bank pelaburan berhubung pilihan strategik bagi unit penerbangan jarak jauhnya yang mana merekodkan kerugian RM490 juta tahun lalu.

Menurut sumber, perbincangan itu bermula sebelum penularan COVID-19 yang menjejaskan penerbangan dunia.

Sumber berkata, terbitan bon untuk memacu kewangan unit berkenaan turut dipertimbangkan.

Perbincangan yang masih di peringkat awal dan syarikat belum memuktamadkan keputusan akhir, kata sumber.

Wakil AirAsia dan Khazanah enggan mengulas mengenai perkara itu.

Syarikat penerbangan jarak jauh kumpulan AirAsia itu terjejas pada November setelah Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat (AS) menggantung syarikat penerbangan Malaysia menambah laluan baharu di AS.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia yang dilanjutkan hingga 14 April susulan peningkatan kes COVID-19, sekali gus menambah ketidaktentuan perniagaan AirAsia.

Malaysia meneroka kemungkinan untuk melancarkan dana menyelamat untuk syarikat penerbangan domestik yang terjejas dengan COVID-19.

Antara idea yang dipertimbangkan adalah menubuhkan unit untuk mengambilalih hutang syarikat seperti Malaysia Airlines Bhd dan AirAsia, kata sumber. - Bloomberg

Berita Harian X