Selasa, 28 April 2020 | 6:06pm

COVID-19: Maxis catat penggunaan data tertinggi dalam sejarah

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd merekodkan penggunaan data pada kadar tertinggi dalam sejarah ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan COVID-19.

Maxis dalam satu kenyataan berkata, pemantauan syarikat itu mendapati bahawa trafik fiber kediaman dan jumlah data mudah alih harian meningkat dengan ketara sejak permulaan PKP pada 18 Mac, dengan jumlah mudah alih yang terus berkembang.

"Terdapat juga peningkatan dalam trafik panggilan suara pada hari pertama PKP, walaupun kembali normal kepada trend sebelum PKP," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi dan Maklumat Maxis, Morten Bangsgaard, berkata pelayaran internet, penstriman video dan mesej segera antara penyumbang sebahagian besar kepada peningkatan trafik data, dengan peranti mudah alih yang kebanyakannya digunakan untuk aktiviti penyemakan imbas.

"Di samping itu peningkatan jumlah data untuk aplikasi penstriman untuk Internet Kediaman juga dapat dilihat. Sebagai contoh, penggunaan YouTube mencatatkan jumlah data tertinggi bagi Maxis, dengan peningkatan lebih daripada beberapa ribu TeraBytes (1TB = 1,024GB).

"Mesej segera dan suara melalui IP (VoIP) pula meningkat kira-kira 50 peratus bersama dengan alat kerjasama seperti Microsoft Teams, Skype dan Google Hangouts. Ia berkemungkinan besar disumbangkan oleh mereka yang belajar dan bekerja dari rumah.

"Amat jelas bahawa pengguna kami banyak menggunakan data, dan terutamanya dalam masa yang mencabar ini. Berikutan itu, amat penting bagi pelanggan kami untuk mendapatkan pengalaman Internet yang baik untuk keperluan harian mereka," katanya.

Bangsgaard berkata, Maxis meningkatkan produksi tapak sebanyak 100 peratus dan mempercepat pelaksanaan kapasiti dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Katanya, pengoptimuman rangkaian yang berterusan untuk melengkapkan pelaksanaan rangkaian dapat memastikan pelanggan akan menikmati pengalaman berkualiti terutama untuk aplikasi yang biasa digunakan.

"Kami mempunyai kira-kira 800 pekerja barisan hadapan yang berkhidmat untuk pelanggan di kedai dan juga juruteknik lapangan bagi memastikan rangkaian tetap aktif, dan kami amat berterima kasih atas dedikasi mereka," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X