Isnin, 18 Mei 2020 | 4:46pm
Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah - Foto ihsan Sunway
Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah - Foto ihsan Sunway

Sunway, University of Cambridge bincang kerjasama perangi COVID-19

KUALA LUMPUR: Sunway mengadakan perbincangan dengan University of Cambridge untuk kemungkinan menjalin kerjasama memerangi COVID-19.

Pasukan tindak balas utama University of Cambridge terhadap pandemik COVID-19 pada masa ini diketuai lebih 150 saintis dan ahli klinikal, yang bekerja di Cambridge Institute of Therapeutic Immunology and Infectious Disease (CITIID).

Mereka ditempatkan di Jeffrey Cheah Biomedical Centre (JCBC), yang terletak di Kampus Cambridge Biomedical, kluster bioteknologi terbesar di luar Amerika Syarikat (AS).

Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah, berkata University of Cambridge kini memainkan peranan peneraju di dalam usaha kebangsaan United Kingdom (UK) untuk memahami dan mengawal jangkitan baharu coronavirus.

"Kami berharap pasukan penyelidik akan berjaya menjana data penyelidikan yang penting untuk memerangi COVID-19.

"Kami juga di dalam perbincangan dengan pihak universiti bagi potensi peluang kolaborasi bagi melonjakkan kejayaan semasa Malaysia dalam menangani pandemik itu,'' katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Naib Canselor University of Cambridge, Profesor Stephen J Toope, merakamkan ucapan penghargaan kepada Cheah dan Sunway atas sumbangan JCBC kepada usaha antarabangsa membanteras COVID-19.

"JCBC menjadi begitu penting kepada tindak balas perubatan klinikal kami terhadap COVID-19.

"Di Kampus Biomedial (Cambridge), kami melancarkan pelbagai pra-klinikal dan kajian penyelidikan klinik dan ujian (merangkumi diagnostik yang lebih baik, rawatan eksperimen, calon vaksin dan kajian pemantauan berskala besar), melalui perkongsian rapat dengan hospital pengajar, Addenbrooke,'' katanya.

CITIID adalah pusat kepada kemudahan membendung biokeselamatan (BSL) tahap 3 terbesar di UK, yang ditubuhkan bagi mengkaji hubungan antara penyakit berjangkit dengan sistem imunisasi manusia.

Institut penyelidikan dengan kemudahan membendung tahap 3 dibenarkan mengkaji patogen berbahaya yang boleh membunuh seperti coronavirus.

CITIID pada ini menerajui projek Konsortium COVID-19 Genomics UK yang disokong kerajaan UK untuk menyediakan rumusan punca penyakit itu secara berskala besar dan pengaturan pantas.

Data itu akan membantu agensi kesihatan awam untuk menguruskan wabak COVID-19 di UK dan memaklumkan mengenai usaha kajian vaksin.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X