Jumaat, 22 Mei 2020 | 5:19pm
FGV Holdings Bhd (FGV)
FGV Holdings Bhd (FGV)

Pembangunan Lembah Makanan Agro FGV akan dipercepat

KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd (FGV) dan anak syarikatnya, MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) akan mempercepatkan rancangan membangunkan kawasan pertanian baharu yang dinamakan Lembah Makanan Agro FGV di Chuping, Perlis.

Pengumuman itu dibuat susulan pembatalan perjanjian jual dan beli (SPA) di antara anak syarikat MSM, iaitu MSM Perlis Sdn Bhd (MSM Perlis) dan F&N Agrivalley Sdn Bhd (dulu dikenali sebagai Rimba Perkasa Sdn Bhd) pada 9 April lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan, berkata projek Lembah Makanan Agro FGV dijangka membawa perubahan kepada landskap industri pertanian di Perlis kerana menggunakan pendekatan Revolusi Industri 4.0 yang menggabungkan teknologi dan mekanisme moden, pembangunan mampan serta aktiviti bernilai tambah.

Beliau berkata, keseluruhan pembangunan projek membabitkan pelaburan RM100 juta dalam masa dua tahun akan terus memperkasa sektor makanan nasional di samping menjamin bekalan makanan mencukupi untuk negara.

Katanya, FGV serta beberapa anak syarikatnya berada pada tahap akhir perbincangan untuk membangunkan pelbagai kawasan penghasilan makanan di Chuping sebagai antara langkah komprehensif bagi meningkatkan sektor perladangan di Perlis serta memberikan manfaat kepada sektor pertanian negara.

"Pembangunan bersepadu bagi tanah seluar 4,400 hektar itu menyasarkan penanaman hasil alternatif berkualiti tinggi di dalam empat sektor makanan agro utama termasuk ubi kayu bagi penghasilan kanji, nanas premium MD2, mangga harum manis dan pengeluaran makanan ternakan berasaskan produk sampingan kanji dan biomas ubi kayu," katanya dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan FGV dan MSM.

Haris Fadzilah berkata, FGV juga merancang untuk membina kilang dengan kapasiti 50,000 tan setahun bagi pengeluaran kanji ubi kayu dan maltodextrin.

Katanya, ubi kayu turut berpotensi dijadikan sebagai bahan untuk penghasilan produk berasaskan industri lain seperti bio-ethanol, bio-fuel, bio-plastic, asid amino, polyols, farmaseutikal dan makanan ternakan.

Beliau berkata, pengeluaran makanan ternakan daripada produk sampingan kanji dan biomas itu mampu mencapai sehingga 22,000 tan setiap tahun.

"FGV akan tetap fokus terhadap pengeluaran produk makanan ternakan berkualiti tinggi bagi memenuhi permintaan penternak tenusu tempatan termasuk FGV Dairy Farm Sdn Bhd yang mengeluarkan produk tenusu di bawah jenama Bright Cow," katanya.

Haris Fadzilah berkata, setiap satu ekar tanaman ubi kayu boleh mencecah pengeluaran sehingga 30 tan dan FGV bersedia untuk menawarkan jaminan pembelian balik yang mampu membantu para petani untuk menambahkan aliran pendapatan mereka.

Dari sudut positif, beliau berkata, penubuhan industri berasaskan ubi kayu bakal mempelbagaikan prospek serta meningkatkan

peluang pelaburan di Perlis susulan pembangunan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) yang diuruskan oleh Lembaga Pelaksanaan Koridor Utara (NICA).

Katanya, pasaran ubi kayu global menyasarkan kadar pertumbuhan sekitar 3.2 peratus daripada 2019 hingga 2024 untuk mencapai nilai pasaran AS$4.5 billion (RM19.5 bilion) pada akhir 2024.

"Pada masa kini, Malaysia mengimport sebanyak 600,000 tan kanji ubi kayu dan Lembah Makanan Agro FGV dijangka menyumbang

sebanyak lapan peratus daripada jumlah import kanji ubi kayu Malaysia," katanya.

Kumpulan FGV turut mensasarkan pelaksanaan inisiatif strategik itu sejajar dengan saranan kerajaan dalam memacu sektor ekonomi domestik dalam mengurangkan impak daripada wabak COVID-19.

Pembangunan Lembah Makanan Agro FGV itu akan menawarkan lebih 300 peluang pekerjaan kepada warga tempatan serta menyediakan prospek perniagaan untuk petani dan belia tani tempatan terutama dalam kumpulan B40 melalui kontrak pertanian serta industri sokongan seperti logistik dan pembekalan.

Berita Harian X